BEKAS pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan menjangkakan Penang FC di bawah kendalian Manzoor Azwira Abdul Wahid sebagai salah satu kuda hitam yang mampu memberikan cabaran untuk musim baharu Liga Malaysia 2023.

Razman berkata demikian kerana walaupun Penang FC melakukan persiapan pramusim secara lebih senyap tetapi mereka memiliki barisan pemain import yang baik terutama di bahagian serangan untuk muncul sebagai pencabar.

Bekas juara Piala Malaysia edisi 2014 itu juga mengharapkan ada tiga atau empat pasukan yang mampu memberikan saingan kepada Johor Darul Ta’zim bagi membentuk satu saingan liga yang lebih baik dan mendebarkan.

“Penang FC boleh menjadi kuda hitam musim ini walaupun mereka lebih senyap tetapi mereka mempunyai pemain import yang baik seperti Adriano yang sememangnya mempunyai kualiti teknikal yang sangat baik dan dia mampu membawa Penang ke tahap yang lebih baik.

“Secara peribadi saya hendak lihat ada pasukan boleh menyaingi JDT. Kita tidak boleh nafikan mereka adalah pasukan yang lengkap dengan mempunyai pemain bertaraf antarabangsa dan pemain tempatan yang baik. Diharapkan ada tiga atau empat pasukan boleh menyaingi JDT hingga akhir musim.

“Saya juga melihat ada beberapa pasukan mempersiapkan pasukan dengan baik pada tempoh pramusim seperti Selangor, Kedah serta Terengganu yang mungkin boleh memberikan cabaran musim ini,” katanya yang diperkenalkan sebagai pundit untuk ulasan siaran langsung Liga Malaysia.

Razman yang bakal bertindak sebagai pundit sedar tugas berat menanti dia dan rakan-rakan yang lain untuk memberikan maklumat berkaitan bola sepak kepada para peminat bola sepak tempatan dan mahukan Liga Malaysia menjadi lebih meriah dengan kehadiran semula penyiar rasmi berpengalaman.

“Saya rasa dengan kembalinya Liga Malaysia ke penyiar rasmi ini, liga kita akan menjadi lebih meriah dan kami sebagai pundit mempunyai tugas yang lebih besar untuk menyampaikan input-input serta maklumat berkaitan kepada penyokong bola sepak kerana bola sepak adalah sukan paling popular di Malaysia,” tambahnya.

Kesemua 244 perlawanan Liga Malaysia melibatkan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia akan ditayangkan secara langsung dengan format definisi tinggi (HD) yang juga boleh ditonton secara dalam talian untuk kemudahan para penyokong menyaksikan perlawanan bola sepak tempatan.