SKUAD badminton yang dibarisi pemain terbaik negara, melangkah ke suku akhir selaku naib juara kumpulan B selepas tewas kepada India 1-4, pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Begitupun, kemaraan skuad berpasukan negara itu mengundang laluan lebih sukar untuk mencapai sasaran ke separuh akhir, apabila diundi bertemu China hari ini.

Dengan empat pasukan terbaik dari Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran (BAMTC) ini akan layak secara automatik ke Piala Sudirman Mei depan, mengalahkan China hari ini bukan lagi satu pilihan sebaliknya keputusan yang wajib dicapai.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadiahkan satu-satunya mata kepada skuad berpasukan campuran negara.

Terdahulu, berdepan India, skuad negara berjuang berhabis-habisan namun langkah tetap sumbang bermula dengan kekalahan Lee Zii Jia kepada HS Pranoy, 21-18, 13-21, 23-25.

Disusuli dengan kekalahan perseorangan wanita Wong Ling Ching di tangan PV Sindhu (13-21, 17-21), harapan untuk bangkit sememangnya diletak di bahu Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Mereka merealisasikan harapan seluruh rakyat Malaysia dengan kemenangan 21-16, 21-10 ke atas Dhruv Kapila-Chirag Shetty.

Namun sandaran diletakkan ke atas juara Sukan Komanwel, Pearly Tan-M Thinaah tidak menjadi kenyataan apabila mereka akur kepada kesungguhan musuh yang ditewaskan di Birmingham tahun lalu, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand 21-23, 15-21.

Ketinggalan 1-3, harapan melihat satu lagi mata dipungut beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga tidak mampu direalisasikan apabila mereka tewas kepada Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto 19-21, 21-19, 16-21.

Justeru, skuad negara mendapat undian berliku apabila akan berdepan China pada suku akhir petang ini, manakala India diundi menentang Hong Kong.