JURULATIH PJ City FC, P.Maniam terkilan kerana pasukannya melepaskan empat gol ketika tewas kepada Johor Darul Ta’zim kerana kesilapan yang dilakukan tetapi berikrar akan bangkit semula selepas ini.
Dia mengakui pemainnya memberikan terlalu banyak ruang kepada penyerang JDT untuk melakukan rembatan pada babak pertama dan kesilapan memberikan sepakan percuma mengundang padah hingga sukar untuk bangkit pada babak kedua.
PJ City akan berehat selama tiga minggu dan kesempatan ini akan digunakan Maniam untuk mempersiapkan pasukannya menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur City nanti.
“Sebagai jurulatih, saya rasa semua pemain sudah memberikan yang terbaik. JDT adalah satu pasukan yang baik dan mereka menghukum kesilapan-kesilapan kami.
“Kami terima keputusan ini dan akan lebih bersedia untuk menghadapi perlawanan akan datang. Saya akan berikan rehat dua hari kepada pemain untuk melupakan kekalahan ini dan mereka akan kembali dengan minda yang tenang sebelum menentang Kuala Lumpur City.
“Kami tidak seharusnya memberikan sepakan percuma untuk gol kedua dan kesilapan hantaran kebelakang menyebabkan JDT mendapat gol keempat. Seharusnya kesilapan begini tidak berlaku di tahap ini tetapi kami akan perbaiki untuk perlawanan mendatang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Beberapa pemain juga dilihat bergelut dengan kecergasan seperti Prabakaran dan Kumaahran tetapi Maniam yakin mereka akan menunjukkan aksi yang lebih baik selepas pulih dari kecederaan yang dialami.
Maniam juga kecewa dengan keputusan perlawanan ini kerana sudah melakukan persiapan rapi termasuk mengadakan perlawanan persahabatan tetapi dia menerima keputusan ini dengan hati terbuka.