SELEPAS mempamerkan permainan yang baik di pusingan pertama, prestasi dipamer Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ketika tersingkir dari saingan Terbuka Malaysia 2024, mengundang rasa berang Rexy Mainaky terutamanya, selepas melihat Tang Jie melakukan smash ‘membabi buta’ sehingga merugikan diri sendiri.

Pegarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu jelas kecewa apabila gandingan terbabit dianggap cukup cemerlang ketika mengalahkan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, dan berjaya mengawal emosi, namun berdepan Hiroki Midorikawa-Natsu Saito.

“Hari ini jumpa pasangan Jepun, mereka sudah mengawal perlawanan tetapi pemain lawan tidak panik. Apabila gandingan lawan ‘pegang’ perlawanan mereka hilang kesabaran.

“Bila Tang Jie ingin melakukan smash ia tidak menjadi, main tak pakai otak, smash saja. Main dengan panik dan tidak kawal emosi. Bagi mata mudah kepada lawan. Ini tidak boleh berlaku lagi kalau pada tahap mereka sekarang,” kata Rexy, berang.

Kekalahan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei gagal mengulangi pencapaian tahun lalu, layak ke suku akhir.

Tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei menewaskan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing di pusingan pertama, mengejutkan pasangan Indonesia Rehan Naufal Kusharianto-Lisa Ayu Kusumawati di pusingan kedua sebelum akur dengan kehebatan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di suku akhir.

Berdasarkan perancangan awal, Tang Jie-Ee Wei akan beraksi di Terbuka India minggu hadapan disusuli Thailand Master pada hujung bulan ini.