SEMEMANGNYA pemain wanita negara tidak diletakkan harapan menggunung dalam kempen Piala Uber 2024, namun prestasi yang ditunjukkan pemain tidak menggambarkan semangat juang yang diinginkan.

Situasi itu membuatkan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berasa kesal melihat semangat pemain dalam gelanggang.

Menurutnya, barisan pemain negara terutamanya perseorangan yang berada di ranking lebih rendah, seharusnya memberi sepenuhnya tentangan ketika berdepan pemain di ranking lebih tinggi.

Sebaliknya, Rexy mendedahkan ada pemain yang lega terlepas daripada menjalani sesi latihan sebelum ini dengan alasan kecederaan.

Wong Ling Ching memenangi satu perlawanan dalam kempen Piala Uber 2024.

“Cara mereka berfikir berbeza, sekiranya sakit rasa gembira, padahal orang lain, kita lihat menangis dan menyesal tak main namun pemain kita rasa selamat boleh ponteng latihan.

“Jika tak boleh lawan diri sendiri, macam mana mahu cabar pemain lain,” kata Rexy, selepas Malaysia menumpaskan Australia 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan B semalam.

Beliau mengagumi semangat bintang Sepanyol yang juga pemenang emas Olimpik, Carolina Marin yang sebelum ini bergelut dengan kecergasan susulan dua kali pembedahan lutut, namun berjaya kembali ke puncak dengan merangkul gelaran All England 2024, Mac lalu.

Siti Zulaikha Muhammad Azmi hanya sekali diturunkan pada kempen Piala Uber 2024 dan berjaya memenangi perlawanan ketika menentang Australia.

Tanpa berselindung, pakar beregu dari Indonesia menyuarakan kekecewaan terhadap prestasi Siti Nurshuhaini Azman yang banyak melepaskan mata mudah pada perlawanan menentang pemain nombor 20 dunia, Busanan Ongbamrungphan 15-21, 8-21 ketika pasukan negara dibenam naib juara 2018, Thailand, 0-5, pada Isnin.

“Saya perlu jujur kerana Siti Nurshuhaini tiada usaha untuk mengangkat semula pukulan lawannya, kita memang jangka dia kalah namun di mana usaha,” katanya.

Selain Siti Nurshuhaini, turut beraksi pada saingan Piala Uber kali ini, pemain profesional Goh Jin Wei, K Letshanaa, Wong Ling Ching dan Siti Zulaikha Muhammad Azmi.

Beregu muda negara, Ho Lo Ee-Tan Zhing Yi turut mempamerkan persembahan baik dalam kempen Piala Ubr 2024.

Jin Wei, Ling Ching dan Siti Zulaikha menang sekali dalam perlawanan masing-masing di Chengdu, iaitu ketika membantu skuad negara mengatasi Australia, 4-1.

Begitupun, Rexy tetap memuji persembahan pemain negara ketika tewas 1-4 kepada Chinese Taipei, kerana ada semangat melawan berbanding menentang Thailand yang dilihat terlalu menghormati lawan sehingga tewas 0-5.

Malaysia gagal layak ke suku akhir edisi kali ini selepas tumpas kepada Taiwan dan Thailand. Kali terakhir skuad negara layak ke suku akhir adalah pada 2010.