PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengakui akan mengecilkan jurang gaji jurulatih tempatan berbanding jurulatih asing dengan memperkenalkan skim bayaran baharu yang lebih kompetitif selari sokongan program Road to Gold (RTG).
Setiausaha Agung BAM, Kenny Goh menegaskan kajian terperinci sudah dilakukan bagi memastikan jurulatih tempatan menerima imbuhan setimpal dan tidak lagi ketinggalan berbanding jurulatih asing.
Isu itu turut mendapat perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang berpandangan penambahbaikan perlu dilaksanakan dan hasilnya, jurulatih tempatan kini mula menikmati bayaran lebih baik menerusi RTG.
Menurut Kenny, BAM tidak menutup mata terhadap rungutan yang timbul apabila mengakui skim sedia ada perlu dinilai semula demi menjaga kebajikan jurulatih tempatan.
Beliau berkata kajian berkenaan hampir dimuktamadkan dan BAM bertekad mengecilkan jurang bayaran yang selama ini menjadi perdebatan hangat dalam arena badminton negara.
Sebelum ini, Hannah memaklumkan jurulatih tempatan seperti Rosman Razak antara penerima insentif RTG selepas membantu Pearly Tan-M Thinaah mencatat prestasi memberangsangkan sepanjang musim lalu.
Namun, isu bayaran kembali hangat apabila bekas jaguh beregu lelaki negara, Koo Kien Keat mendakwa BAM mengamalkan layanan berbeza terhadap jurulatih tempatan sehingga membuatkan beliau menutup pintu untuk menyertai barisan kejurulatihan badan induk itu.