REXY Mainaky mahu dua pasangan juara di Taiwan, Chen Tang Jie-Toh Eei Wei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun buktikan mereka mampu mengekalkan persona juara di tiga kejohanan berturut-turut, Terbuka Korea, Jepun dan Australia.
Pengarah Kejurulatihan Beregu, Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu berkata, prestasi dipamerkan beregu campuran dan beregu lelaki negara di Taiwan amat meyakinkan dan mempamerkan sikap laparkan kemenangan.
“Beregu campuran kita sangat bagus, memang layak menang gelaran dengan mempamerkan sikap yang baik dari pusingan pertama lagi ia menjadi ujian yang baik buat mereka selepas memenangi gelaran,” kata Rexy.
Mengulas mengenai kejayaan Wei Chong dan Kai Wun yang mempertahan kejuaraan di Taiwan, bekas pemenang emas Olimpik itu berkata: “Selepas berjaya mempertahan gelaran, pasti Wei Chong-Kai Wun lebih berkeyakinan, kuat dan mempercayai kemampuan diri mereka dan ia boleh membantu meningkatkan prestasi mereka di peringkat tertinggi.”
Sementara itu, Wei Chong-Kai Wun mula menetapkan standard yang mereka perlu capai setiap kali menyertai kejohanan.
“Kami tidak boleh terlalu selesa kerana masih banyak kejohanan yang perlu kami sertai tahun ini. Malah kami juga berharap akan lebih banyak halangan dapat dilepasi pada kejohanan yang akan datang.
“Selepas ini kami akan cuba untuk fokus untuk sekurang-kurangnya berada di suku atau separuh akhir untuk kejohanan yang akan kami sertai,” katanya.
Terdahulu, skuad badminton negara melengkapkan kejuaraan berganda pada Terbuka Taiwan selepas Man Wei Chong-Tee Kai Wun memenangi aksi final beregu lelaki di Arena Tian-Mu semalam, selepas menewaskan wakil tuan rumah, Lu Ching Yao-Yang Po Han.
Untuk rekod, kemenangan Wei Chong-Kai Wun adalah kejayaan kedua kem negara selepas Tang Jie- Ee Wei yang terlebih dahulu merangkul kejuaraan dalam beregu campuran pada aksi final, juga menewaskan gandingan tuan rumah.
Justeru, Rexy mengharapkan dua beregu negara itu terus mempamerkan konsistensi, apabila dijadual menyertai Terbuka Korea (Super500) pada 18-23 Julai, Terbuka Jepun (Super750) 25-30 Julai dan Terbuka Australia (Super500) 1-6 Ogos depan.