MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) belum menerima kenyataan rasmi daripada Jawatankuasa Sukan SEA, berkaitan penempatan semula lokasi pertandingan bagi semua acara sukan di Songkhla, berikutan bencana banjir yang melanda wilayah itu.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya belum menerima makluman perkembangan terbaharu yang mengesahkan lokasi pertandingan akan dipindahkan setakat ini.

“Kerajaan mereka belum beritahu pihak penganjur di sana,” kata Norza ketika dihubungi Flash Sukan.

Presiden MOM, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria mangikut rapat perkembangan terkini pertukaran venue di Thailand.

Sementara itu, MOM turut mengemaskini perkembangan berkaitan: “Pejabat SEAGF dan THASOC akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan perkembangan banjir serta penempatan semula venue sukan dari Songkhla ke Bangkok”.

Sejak pagi ini, kebanyakan media Thailand mula melaporkan mengenai pemindahan lokasi pertandingan dari Songkhla ke Bangkok, atas alasan utama kebimbangan terhadap kondisi venue pertandingan serta risiko penularan wabak selepas banjir.

Laporan daripada NationThailand.com menyatakan bahawa Menteri Pelancongan dan Sukan negara itu, Atthakorn Sirilatthayakorn yang bermesyuarat bersama wakil beberapa negara bertanding, bersetuju untuk memindahkan 10 sukan melibatkan 109 pingat emas akan dipindahkan.