DALAM suasana penuh tekanan susulan isu hukuman ke atas beberapa pemain naturalisasi, ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Clamovski tampil menegaskan bahawa projek jangka panjang skuad negara tidak tergugat, malah semangat pasukan semakin kuat menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal malam ini.

Clamovski berkata kekecohan di luar padang tidak akan mengubah fokus sebenar skuad negara yang tekad menunjukkan identiti sebenar Harimau Malaya kepada seluruh rakyat.

“Esok (hari ini)  akan tunjuk kepada seluruh negara siapa kita sebagai sebuah pasukan kebangsaan. Itu peluang kami untuk mewakili negara dengan penuh bangga. Apa yang berlaku di luar padang bukan dalam kawalan kami — tetapi apa yang kami buat dalam bola sepak, itu fokus kami setiap hari,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Bukit Jalil, semalam.

Beliau turut memberi jaminan bahawa hala tuju jangka panjang pasukan terus berada di landasan tepat meskipun berdepan “isu” yang melanda.

Dari hari pertama sampai sekarang, pemain-pemain ini memberi inspirasi kepada saya setiap hari. Apa yang kita bina dalam pasukan ini sangat istimewa dan akan kekal dalam memori kami sepanjang kerjaya,” ujarnya.

Clamovski juga membuat rayuan penuh emosi kepada penyokong agar terus berdiri di belakang pasukan — bukan hanya untuk generasi hari ini, tetapi untuk masa depan bola sepak negara.

Saya harap seluruh negara terus menyokong pemain-pemain ini kerana mereka layak menerimanya. Mereka mahu menginspirasi rakyat, menginspirasi generasi seterusnya. Esok malam kami bermain untuk semua — warga emas, orang dewasa, remaja, dan kanak-kanak,” katanya.

Jurulatih kelahiran Australia itu turut berkongsi pengalamannya menyaksikan bola sepak akar umbi sepanjang setahun berada di Malaysia.

Saya pergi tengok bola sepak akar umbi — bawah 10, bawah 11, bawah 12, bawah 14, bawah 18 — semuanya saya pergi. Kanak-kanak ini cintakan bola sepak. Esok (hari ini) malam kami mahu main bola sepak yang buat mereka terinspirasi dan mahu menyarung jersi Harimau Malaya suatu hari nanti,” tegasnya.

Dengan semangat yang semakin membara dan misi untuk menyatukan seluruh negara, Harimau Malaya bersedia untuk meninggalkan segala kekalutan di luar padang — dan menumpukan sepenuh jiwa dalam perlawanan yang bakal menentukan maruah dan momentum mereka menutup tahun 2025.