BERBAKI empat bulan lagi sebelum saingan skuasy edisi 2023-2024 tamat, jaguh skuasy wanita kebangsaan, S.Sivasangari kini dalam landasan untuk memburu kelompok 10 terbaik dalam ranking dunia.

Atlet berusia 25 tahun yang kini berada di ranking 15 dunia bertekad untuk mengharungi apa jua cabaran demi merealisasikan hasratnya untuk melonjak ke tangga ke-10 dunia.

Dalam usaha yang sama, Sivasangari turut tegas dalam memastikan kekuatan mentalnya berada pada tahap yang baik sejurus dapat membantunya untuk menampilkan prestasi yang lebih cemerlang dalam perlawanan akan datang.

Sivasangari ditemui di Majlis Kerjasama antaranya dan CIMB Group.

“Harapan saya untuk menembusi ranking 10 teratas pada musim ini. Sememangnya ia bukan satu perkara yang mudah, tetapi ini yang saya mahukan.

“Saya akan memperbaiki kelemahan yang sedia ada dan menjadi lebih baik, terutama selepas mental saya lebih kuat dan stabil. Dengan sokongan dari pihak CIMB, Majlis Sukan Negara (MSN) dan jurulatih saya, saya yakin ianya dapat membantu menambah corak dalam perjalanan saya.

“Saya juga tidak ingin meletakkan sebarang tekanan terhadap diri saya sendiri, saya tahu saya tidak dapat bermain dengan baik jika saya berada di situasi demikian,” ujarnya jetika ditemui selepas Majlis Kerjasama antara CIMB dan Sivasangari Subramaniam.

Pemain berusia 25 tahun ini tekad pamerkan aksi terbaik dalam baki perlawanan musim ini.

Bagai ‘serampang dua mata’, Sivasangari juga idam memiliki pingat emas di Temasya Olimpik Los Angeles 2028.

Perjalanannya masih jauh, namun pemain ini telah menetapkan sasaran sedemikian untuk memastikan dirinya tidak terpesong dari landasan yang baik.

“Kita perlu percaya pada diri sendiri, saya rasa jika saya tidak menetapkan sasaran emas, maka saya akan mempersoal mengapa saya ada disana,” katanya.