PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2023, Sabah bakal bertanding di dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 31 Ogos 2024.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman bersama Ketua Jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi selaku ketua unit bola sepak wanita FAM telah hadir ke pejabat Persatuan Bola Sepak Sabah, semalam bagi menzahirkan ucapan tahniah serta mengadakan perbincangan lanjut mengenai persiapan pasukan.

“AFC Women’s Champions League 2024 diadakan buat julung kalinya oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan skuad bola sepak wanita Sabah merupakan pasukan bola sepak wanita pertama di Malaysia untuk melayakkan diri ke pertandingan berprestij ini.

“Tahniah, skuad bola sepak wanita Sabah! ,” tulis kenyataan FAM.

Sabah bersama 14 pasukan lain akan berentap di pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC 2024 untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya bersama lagi lapan pasukan teratas yang telah layak berdasarkan kedudukan ranking FIFA.

Empat juara kumpulan akan layak ke peringkat kumpulan yang akan menyaksikan 12 kelab berentap bagi melayakkan ke Liga Juara-Juara Wanita AFC yang dijadualkan berlangsung pada Januari 2025.