SABAH FC kembali ke landasan kemenangan selepas mudah mengenepikan cabaran barisan muda Perak FC 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Selasa.
Tiga gol menerusi Darren Lok, Park Tae-su dan Baddrol Bakhtiar pada separuh masa pertama sudah cukup memberikan Skuad Badak tiga mata penuh selepas kecewa diikat Terengganu FC dalam perlawanan sebelum ini.
Beberapa pemain yang mengalami kecederaan lewat ketika sesi pemanas badan memaksa Datuk Ong Kim Swee melakukan pertukaran ketika perlawanan hampir bermula namun ianya tidak menggangu persembahan pasukan secara keseluruhan.
LIGA SUPER 2023
FT: Sabah FC 3-1 Perak FC
⚽ Darren Lok 4', Park Tae-su 32', Baddrol Bakhtiar 41'
⚽ Harith Naem 83'#LigaSuper2023#RaduSabahRadu#KejorYobKejor pic.twitter.com/GeVmshDdgj— Flash Sukan (@FlashSukan) May 23, 2023
Kealpaan benteng pertahanan Perak memberikan dua gol mudah buat Sabah dengan Darren Lok dan Park Tae-su menggunakan pengalaman yang ada pada diri mereka untuk mudah meletakkan Sabah dua gol di hadapan.
Baddrol Bakhtiar menambah derita Perak beberapa minit sebelum tamat babak pertama selepas menanduk masuk hantaran lintang cantik Jailton Paraiba untuk kedudukan yang lebih selesa buat Sabah.
Babak kedua menyaksikan pemain Sabah lebih banyak membuat hantaran-hantaran pendek untuk mematikan serangan Perak yang dilihat tidak berputus asa mengasak kubu Sabah untuk menjaringkan gol pertama.
Usaha berterusan barisan kendalian Datuk Lim Teong Kim mendatangkan hasil apabila bekas pemain Sabah, Harith Naem berjaya memberikan gol pertama buat Perak dalam dua perlawanan untuk merapatkan jurang kepada 3-1.
Semangat juang Perak tidak padam dan terus mengasak namun gagal mendapatkan gol kedua sekali gus terpaksa menerima kekalahan ketujuh dari 12 perlawanan dan kekal di tangga ke-11 liga manakala Sabah naik ke tangga keempat dengan 24 mata.