JURULATIH Interim Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid jelas berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan oleh barisan pemainnya meskipun tewas 2-3 kepada Kuala Lumpur City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Pengendali yang mengambil alih tugas dari Tomas Trucha yang dilepaskan oleh Penang FC menggunakan peluang bertemu KL City ini sebagai medan persediaan mental buat para pemainnya.
Dia juga nyata gembira dengan semangat juang para pemain sehingga wisel penamat terutama selepas kemasukan Casagrande yang nyata memberi tonik buat pemain untuk bangkit meskipun ketinggalan tiga gol.
“Mental pemain sedikit terjejas dengan apa yang berlaku kepada Tomas. Oleh itu saya lebihkan dari segi persediaan mental dan pemain dapat menunjukkan semangat berjuang mereka sehingga tamat perlawanan.
“Kemasukan Casagrande menjadi ‘turning point’ buat Penang FC. Beliau berjaya memberikan semangat kepada pemain yang ada di dalam padang dan beliau juga memberikan aksi terbaik meskipun belum pulih sepenuhnya dari kecederaan,” kata Manzoor dalam sidang media selepas perlawanan.
Manzoor Azwira akui pemain-pemainnya memerlukan sedikit masa untuk membetulkan kelemahan dan kemantapan pasukan.
Pertemuan Piala FA menentang Perak akan dijadikan titik permulaan untuk layak ke suku akhir sebelum mengorak langkah dalam Liga Super.
Manzoor juga menjelaskan kedudukan Rafael Vitor yang tercedera dan berkongsi pendekatan yang akan dilakukan olehnya sekiranya terus diberikan mandat oleh pihak pengurusan kelab Harimau Kumbang ini.
87′ GOL | Hilal El-Helwe menyudahkan hantaran Endrick untuk gol kedua Penang FC!@KLCityFootball 3-2 @Penang_FC #LigaSuper2022 pic.twitter.com/8vet2KLLGa
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) May 10, 2022
“Vitor sudah tiga minggu mengalami kecederaan hamstring dan kini kembali ke Brazil untuk menjalani rawatan dan akan kembali menyertai pasukan hujung bulan ini.
“Saya akan menunggu arahan dari pengurusan tentang apa yang berlaku kepada pasukan dan saya akan lakukan pendekatan yang lebih sesuai dan serasi dengan pemain dan berharap Penang akan kembali memberi saingan dan kekal dalam Liga Super.
Dalam pada itu, pengendali berusia 46 tahun ini turut menyeru kepada penyokong Pulau Pinang supaya teruskan menyokong dan berdoa agar Penang FC mampu kembali memberikan saingan sekaligus kekal dalam Liga Super.
“Buat para penyokong, saya berharap anda semua terus menyokong dan berdoa supaya Penang kembali bersaing dan saya percaya dalam bola sepak apa-apa boleh terjadi dan sasaran awal adalah untuk menjarakkan mata dari zon relegasi pada pusingan pertama ini,” tambah Manzoor.
Penang FC kini masih di tangga terbawah liga tanpa sebarang kemenangan tetapi cuma dipisahkan tiga mata untuk keluar dari zon penyingkiran.