KAPTEN skuad Harimau Malaya, Matthew Davies bangga dengan persembahan yang ditunjukkan semua pemain apabila melakukan kebangkitan dramatik menewaskan Republik Krygyz 4-3 dalam aksi Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
Matt mengakui perlawanan ini mempunyai naik dan turun dengan Malaysia lebih banyak mendominasi permainan tetapi sedikit kelekaan menyaksikan Harimau Malaya ketinggalan 1-3 ketika perlawanan berbaki 18 minit.
“Ianya perlawanan yang mempunyai banyak turun dan naik walaupun kami mendominasi perlawanan pada babak pertama sebelum kami hilang fokus selama lima minit dan ketinggalan 2-1 sebelum menjadi 3-1.
“Selepas kami mendapat gol kedua, kami kembali percaya yang kami mampu lakukan dan pada akhirnya kami layak untuk menang dan sangat gembira dengan kemenangan ini.
“Ketika ketinggalan 3-1, saya rasa sangat menyedihkan dan sangat bangga dengan semua pemain yang bangkit untuk menang 4-3. Mereka semua sangat bagus dan kredit kepada Arif Aiman yang sentiasa menakjubkan serta Dion Cools tetapi secara keseluruhan semua pemain beraksi dengan baik” jelasnya ketika ditemui selepas perlawanan.
Pemain warisan Malaysia-Australia itu juga turut berkongsi keadaan dalam bilik persalinan semasa rehat babak pertama dan dia menyatakan para pemain layak dimarahi kerana gagal mengekalkan fokus namun Kim Pan-gon menggunakan pendekatan emosi untuk menaikkan kembali semangat para pemain.
“Keadaan dalam bilik persalinan selepas tamat babak pertama sangat emosi dan sedih apabila melihat jurulatih kecewa dengan kami tetapi kami terimanya kerana mungkin kami layak.
‘Coach’ gunakan pendekatan emosi dan beritahu kami yang kami mampu lakukan dengan kualiti yang ada pada kami,” katanya yang melakukan penampilan ke-15 bersama Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Dunia.