PERTARUNGAN atlet muaythai dari empat negara, memeriahkan lagi Kejohanan Muaythai Rentap Night Pandan Madani 2024 yang berlangsung pada Ahad (29 Disember), yang kali pertama melibatkan penyertaan antarabangsa.

Pertembungan petarung dari Malaysia, Iran, Kemboja dan Afghanistan di Kompleks Muhibah, Taman Nirwana, Kuala Lumpur itu, menjadi acara kemuncak kejohanan yang mempertandingkan acara amatur dari pagi hingga lewat petang yang melibatkan 92 petarung semuanya.

Penganjur, Fairul Ezly Ramli berkata, seramai 80 petarung amatur tempatan akan beraksi dari pagi hingga ke lewat petang, manakala 12 petarung muaythai profesional pula akan beraksi pada sebelah malam.

“Evolusi ketara dapat kita lihat dalam persaingan tahun ini jika dibandingkan dua edisi lalu, apabila kita mengalu-alukan lawan daripada negara luar dalam usaha meningkatkan tahap persaingan ,” kata Fairul Ezly, dalam sidang media menjelang kejohanan itu esok.

Beliau berkata, kejohanan yang memasuki edisi ketiga, selepas penganjuran pada 2018 dan 2019 itu, berjaya menarik perhatian petarung amatur, malah antarabangsa, setelah menjalin kerjasama dengan sebuah kelab Kun Khmer dari Kemboja, yang aktif dalam penganjuran pertarungan antarabangsa di Phnom Penh.

Sementara itu, bagi acara kemuncak melibatkan 12 petarung profesional bakal menyaksikan perebutan lima tali pinggang dan sebuah piala.

Penganjur Kejohanan Muaythai Rentap Night Pandan Madani 2024, Fairul Ezly Ramli sedia menanti ribuan penonton membanjiri kejiranan penduduk.

Bagi kategori profesional, 52 kilogram (kg) bakal menyaksikan pertarungan dua petarung tempatan iaitu Nur Muhammad Hayul dari Kelab KL Muaythai Academy menentang Iqbal Popeye (Vaff Teras Muaythai).

Kategori 58kg pula antara Fuad Izuan (Malaysia) menentang Pong Buncheng (Kemboja).

Kategori 60kg antara Haiqal (Kelab Kayu Kelat) menentang Farhan (Kelab Hello Fight Lab), manakala kategori 59kg antara Putera Farez (Kelab Phonex) menentang Ali Mujtabar (Kelab Sampur).

Pertarungan antarabangsa kategori 60kg pula bakal menyaksikan petarung Kelab JTT Malaysia, Thinaharan menentang Pong Pisith dari Kemboja, manakala kategori 70kg pula antara Sahoo Gheisaran (Kelab Hello Fight Lab-Iran) menentang Um Cham Voeum (Kemboja).

Kejohanan itu bakal dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Abdul Munim.