MOHAMED Salah menegaskan Liverpool tidak akan mengambil mudah peluang besar untuk melebarkan jurang kepada sebelas mata dengan juara bertahan Manchester City, walaupun The Citizens kini berada dalam prestasi hambar.
Pemain berusia 32 tahun itu menjadi wira Liverpool dalam kemenangan dramatik 3-2 ke atas Southampton pada Isnin, dengan dua jaringannya membantu The Reds bangkit selepas ketinggalan 1-2.
Kemenangan tersebut membolehkan Liverpool memimpin liga dengan kelebihan lapan mata mengatasi City yang kini berada di tangga kedua.
Walaupun pasukan kendalian Pep Guardiola itu mengalami lima kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan, Salah mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak terlalu yakin.
“Gol yang saya jaringkan itu sangat penting, terutamanya selepas kami ketinggalan 2-1, perkara paling penting adalah kami menang perlawanan ini.
“Setiap perlawanan adalah berbezanya dan Mereka (Southampton) mempunyai corak permainan tersendiri dan bermain dengan sangat baik. Kami berjaya bangkit dan menang perlawanan ini.
“Saya rasa kami ada corak permainan yang baik, kami bermain seperti biasa dan saya yakin kami akan mencipta peluang dan ini satu kemenangan yang hebat…mudah-mudahan, kami teruskan di arah yang sama.” katanya yang dipetik ketika temubual bersama Sky Sports.

Mohamed Salah menjaringkan dua gol ketika Liverpool bangkit daripada ketinggalan 2-1 untuk meraih kemenangan.
Ketika ditanya mengenai peluang Liverpool dalam perebutan kejuaraan liga, Salah menambah pasukannya masih mempunyai perlawanan menentang City, dan dia berharap perlawanan itu berpihak kepada pasukannya.
“Kami masih ada perlawanan menentang mereka City dan mudah-mudahan, kami menang untuk melebarkan jurang kepada 11 mata.
“Tetapi Man City tetap Man City kerana mereka mungkin sedang melalui tempoh yang sukar, tetapi mereka mempunyai pemain-pemain hebat,” tambah Salah.
Liverpool kini bersiap sedia untuk pertembungan penting di Anfield hujung minggu ini apabila menerima kunjungan City yang sedang bergelut dengan prestasi.

Kemenangan bakal memberikan kelebihan besar kepada The Reds dalam saingan kejuaraan liga musim ini.
Namun, dengan City yang telah memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris berturut-turut, Salah mengingatkan bahawa mereka tidak boleh dipandang rendah kerana masih ada baki 26 perlawanan dalam musim ini.