MALAYSIA memiliki potensi besar untuk kembali bersinar di arena badminton dunia.

Keyakinan itu disuarakan ketua jurulatih baharu perseorangan negara, Kenneth Jonassen yang percaya dengan bakat serta peluang pemain muda untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa.

“Saya melihat pemain Malaysia memiliki potensi yang sangat besar. Mereka berbakat, tetapi perjalanan untuk mencapai ke tahap tertinggi memerlukan kesabaran dan usaha yang berterusan.”

Sementara itu, bekas ketua jurulatih badminton Denmark itu, turut menegaskan bahawa matlamat utamanya adalah memenangi pingat emas Olimpik, biarpun perjalanannya masih panjang.

Kenneth Jonassen yakin Malaysia tidak pernah bergelut melahirkan pemain perseorangan lelaki ternama.

“Kejayaan seperti ini memerlukan usaha berpasukan, kejujuran, dan dedikasi sepenuhnya – 365 hari setahun, 24 jam sehari,” jelasnya.

Bermula dari panggilan telefon, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, Jonassen akhirnya tiba di Malaysia, dan lebih menyifatkan perbualan dengan Rexy sebagai satu peluang unik yang tidak boleh dilepaskan.

“Peluang seperti ini datang sekali seumur hidup. Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada sistem badminton di sini yang sangat dihormati dan dihargai,” katanya.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen akan berkerja rapat dengan Pengarah Kejurulatihan ABM.

Jurulatih berpengalaman itu, berkhidmat sebagai ketua jurulatih pasukan Denmark selama 11 tahun. Dia memutuskan untuk meletak jawatan secara senyap selepas Sukan Olimpik Paris 2024 bagi memberi fokus kepada cabaran baharu.

Jonassen turut berkongsi pendekatan kejurulatihannya, yang menekankan kepentingan hubungan baik dan rasa tanggungjawab bersama antara pemain dan jurulatih.

“Saya mahu mencipta hubungan yang kukuh dengan pemain. Kejujuran dan rasa tanggungjawab adalah asas utama dalam perancangan. Pemain perlu mengambil peranan besar dalam merancang masa depan mereka, manakala tugas saya adalah membantu mereka melaksanakan rancangan tersebut dengan sebaiknya,” katanya.

Walaupun belum sempat mengenali pemain dengan lebih mendalam, Jonassen mengakui bahawa jurulatih sebelumnya telah melakukan kerja yang cemerlang.

“Saya perlu memerhatikan dan memahami keperluan setiap pemain sebelum membuat perancangan. Apa yang saya lihat sekarang, mereka mempunyai potensi besar untuk mencapai kejayaan,” katanya lagi.

Jonassen juga optimis bahawa gabungan pendekatan latihan dari Eropah dan Asia mampu menghasilkan sesuatu yang unik untuk skuad badminton Malaysia.

“Saya percaya keseimbangan antara pendekatan Eropah dan Asia dapat membawa sesuatu yang luar biasa. Perjalanan ini juga adalah proses pembelajaran untuk saya, dan saya sangat terinspirasi dengan cabaran baharu ini,” jelasnya.