PASUKAN bola sepak Kebangsaan Indonesia tampil dengan barisan pemain terbaik menjelang Piala Asean Mitsubishi Electric (Piala AFF) 2024, yang bakal berlangsung dari 8 Disember hingga 5 Januari depan.

 


Indonesia jelas bertekad untuk memecah dominasi serantau dan mengukir kejayaan baharu dalam kejohanan dwitahunan ini.

Dibimbing oleh jurulatih berpengalaman Shin Tae-yong, skuad Sang Garuda menampilkan kombinasi pemain berbakat tempatan dan bintang yang berpangkalan di luar negara.

Pemain seperti Justin Hubner dari Wolverhampton, Pratama Arhan di Suwon, dan Asnawi Mangkualam di Port FC dijangka memperkukuh jentera pertahanan.

Manakala Ivar Jenner dan Rafael Struick, dua pemain muda berbakat, turut dipanggil untuk memperkuatkan pasukan.

Walaupun penjaga gol utama Marteen Paes tidak tersenarai, Indonesia optimis mempertaruhkan bakat tempatan untuk menggalas tugas sebagai benteng terakhir.


Pemilihan pemain kali ini juga dilihat sebagai persediaan awal bagi menghadapi baki perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 pada Mac depan.

Diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Filipina, Laos, dan Myanmar, Indonesia berdepan cabaran besar untuk mara ke peringkat seterusnya.

Namun, dengan skuad yang dianggap setara tonggak Kelayakan Piala Dunia, mereka diyakini mampu memberikan saingan sengit dan memanfaatkan pengalaman kejohanan ini untuk mengukuhkan posisi di pentas antarabangsa.

Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 bukan sekadar peluang untuk meraih kejuaraan, tetapi juga medan untuk Indonesia menunjukkan bahawa mereka adalah kuasa bola sepak serantau yang sedang bangkit.