FOTO : KDA FC
KEDAH Darul Aman (KDA) FC akan menyertai Kejohanan Piala Harapan 2023 di Pulau Pinang pada 1 hingga 4 Februari ini, sebagai persiapan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Selain skuad KDA FC, pasukan tuan rumah iaitu Penang FC, Selangor FC dan Geylang International FC akan turut memeriahkan kejohanan empat penjuru itu.
Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
Sebagai persediaan untuk kejohanan di utara itu, skuad kendalian Nafuzi Zain sudah menjalani latihan pusat dan mengadakan tiga sesi perlawanan pramusim sejak bulan ini.
Latihan itu dalam usaha membentuk persefahaman dan keserasian pemain selepas berehat dan tamat musim 2022.
Sang Kenari melakukan perubahan besar apabila melantik Nafuzi yang juga bekas ketua jurulatih Terengganu FC membimbing skuad Hijau Kuning musim ini.
KDA FC juga akan menyenaraikan import baharu, antaranya Lee Tuck, Willian Lira, Amirbek Juraboev, Manuel Gelito Ott dan Manuel Hidalgo.