GELARAN beregu lelaki Perodua Masters Malaysia 2025 sah menjadi milik negara apabila dua gandingan elit tanah air, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun akan berentap sesama sendiri di pentas final, esok.
Situasi ‘all-Malaysian final’ ini pastinya membakar semangat penyokong tanah air yang dijangka memenuhi Axiata Arena untuk menyaksikan pertembungan penuh prestij antara dua pasangan terbaik negara.
Aaron-Wooi Yik memastikan slot ke final pertama mereka dalam kejohanan Super 500 ini selepas mengatasi gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-19, 17-21, 21-15 dalam tempoh 64 minit, sebentar tadi.
Wei Chong-Kai Wun pula terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila mengejutkan pilihan utama Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dengan kemenangan meyakinkan 21-12, 21-14 dalam masa 31 minit.
Kejayaan ini turut menghidupkan kembali kenangan manis edisi 2013 apabila kali terakhir wakil negara merangkul kejuaraan beregu lelaki menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah.
Lebih menarik, ini adalah final sulung membabitkan dua wakil negara di kejohanan ini dan kedua-duanya kini terikat 2-2 dalam rekod pertemuan sebelum ini.
Kali terakhir mereka bertembung adalah di separuh akhir Indonesia Masters 2025 yang menyaksikan Wei Chong-Kai Wun menewaskan Aaron-Wooi Yik 21-18, 21-15.