KETUA jurulatih skuad negara B-23, Nafuzi Zain tetap berpuas hati dengan tahap komitmen dan disiplin pemain sepanjang aksi di Bangkok walaupun gagal untuk layak ke Piala Asia B-23 dengan kekalahan tipis 1-2 menentang Thailand.
Malaysia memberi saingan sengit menentang Thailand di padang licin akibat hujan lebat, namun kesilapan pada minit akhir menghadiahkan gol penentu kepada lawan.
“Dari segi kerjasama dan komitmen pemain, saya amat berpuas hati kerana mereka menunjukkan kesungguhan sejak latihan hingga ke perlawanan.”
“Cuma kekecewaan tetap dirasai kerana saya percaya pasukan ini layak mara ke Piala Asia berdasarkan persembahan, termasuk ketika menentang tuan rumah Thailand dalam keadaan padang yang sukar akibat hujan lebat,” katanya.

Aksi menentang Thailand yang terjejas dengan hujan lebat menyaksikan Malaysia hampir mencatat kemenangan, tetapi kesilapan pada saat akhir memberi kelebihan kepada tuan rumah untuk menjaringkan gol penentu.
“Begitulah lumrah bola sepak, satu kesilapan kecil boleh menghukum pasukan, namun saya tetap berbangga dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh pemain,” katanya.
Menurut Nafuzi, skuad negara bermain dengan lebih baik berbanding kempen lalu di Jakarta, sambil mengekalkan corak permainan yang membina serangan dari bawah meskipun berdepan keadaan padang sukar serta berlawan dengan taktik direct football dari Thailand.
“Secara keseluruhan, prestasi pasukan jauh lebih baik berbanding di Jakarta, namun kami masih perlu belajar dan memperbaiki dari kelemahan yang ada,” katanya.
Nafuzi mengakui kelemahan skuad negara ialah kegagalan menyudahkan serangan balas, sambil menekankan keperluan pemain untuk bermain lebih tenang agar tidak mensia-siakan peluang.
“Peluang untuk menamatkan permainan wujud ketika melakukan serangan balas, tetapi disebabkan tekanan oleh pemain lawan kita tidak dapat menjaringkan gol, perkara ini akan menjadi pengalaman serta menjadi pengajaran penting buat mereka,” katanya.
Beliau menegaskan pasukan sepatutnya mampu menamatkan perlawanan melalui serangan balas, namun tekanan membuatkan pemain kurang tenang ketika menyempurnakan peluang, sesuatu yang dianggap sebagai pengalaman berharga buat mereka.
FOTO: FAM