BEKAS jurulatih perseorangan, Wong Tat Meng dipercayai sedang bertarung nyawa selepas terbabit dalam kemalangan serius melibatkan motosikal di Sydney, Ahad lalu.

Laporan media tempatan memetik dua motosikal dilaporkan bertembung di Putty Road, kawasan Garland Valley, dengan salah seorang penunggang maut di lokasi kejadian.

Wong Tat Meng berkongsi kenangan pengembaraannya di Sydney. | FOTO Instagram Wong Tat Meng

“Seorang lagi penunggang berusia 58 tahun menerima rawatan kecemasan daripada paramedik New South Wales sebelum diterbangkan ke hospital dalam keadaan kritikal,” lapor The Nightly tanpa memetik identiti mangsa.

Wong Tat Meng berkongsi kenangan pengembaraannya di Sydney. | FOTO Instagram Wong Tat Meng

Bagaimanapun, identiti penunggang kritikal itu dipercayai Tat Meng yang juga dikenali sebagai peminat tegar aktiviti permotoran.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh ketika dihubungi berkata, beliau menerima beberapa maklumat yang mengatakan mangsa adalah Tat Meng, namun beliau tidak dapat memberi pengesahan lanjut.

Di laman sosial Instagram miliknya, Tat Meng ada berkongsi beberapa gambar di beberapa lokasi pengembaraan bermotosikal dari Sydney ke Great Ocean Road.

Tat Meng pernah menjadi jurulatih perseorangan wanita di BAM, dan di beberapa negara sebelum kembali ke tanah air sebagai jurulatih utama perseorangan lelaki kepada Lee Zii Jia, yang memenangi pingat gangsa di Olimpik Paris.