
“Saya hanya CEO ‘sign’ kontrak Ifedayo” – Dr Johan

SELANGOR FC mengesahkan perbincangan dengan pemenang Kasut Emas 2020 dan 2021, Ifedayo Olusegun telah diadakan dan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat.
Perkhabaran ini dinyatakan, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (CEO), Dr Johan Kamal Hamidon yang kini menyerahkan kepada Cheng Hoe untuk membuat keputusan sama ada membawanya menyertai keluarga Gergasi Merah atau sebaliknya.
“Saya hanyalah CEO yang hanya sign (tandatangan) kontrak, taktikalnya bergantung kepada Cheng Hoe.
“Mengenai (Ifedayo) ada bincang dan keputusan belum dibuat lagi,” katanya.
Ifedayo ketika ini tidak mempunyai pasukan susulan isu kewangan dan pengurusan yang dihadapi Melaka United FC menyebabkan tiada kelibat MUFC dalam saingan Liga Malaysia 2023.

Ifedayo ketika ini turut dikaitkan dengan Kedah Darul Aman FC.
Bersama skuad Hang Tuah dalam situasi pasukan bergelut sepanjang musim, Ifedayo masih berjaya membuktikan kemampuan dengan menjaringkan tujuh gol dalam 15 penampilan Liga Super.
Ifedayo mula menyertai Selangor FC pada 2019-2021 dan telah meledak 50 gol hasil daripada 45 penampilan yang menobatkannya selaku pemenang kasut emas dua tahun berturut-turut (2020/2021).
Dalam perkembangan berasingan, Dr Johan mengesahkan pasukannya kini sedang menimbang untuk membawa masuk seorang pemain import untuk memperkuatkan pasukan.
“Kita telah membuat keputusan untuk membawa masuk pemain import kelapan bagi musim 2023. Sebenarnya sudah kenalpasti dua pemain namun disebabkan kekangan pasukan kebangsaan dan majikan pemain import berkenaan kita terpaksa melupakannya,” jelasnya.
Ketika ini Selangor FC mengekalkan empat pemain import lama iaitu Yazan Al-Arab (Jordan), Hein Htet Aung (Myanmar) Alex Agyarkwa dan George Attram (Ghana).
Tiga pemain import yang dibawa masuk pula adalah pemain tengah skuad kebangsaan Jordan, Noor Al-Rawabdeh, Rauf Salifu (Ghana) dan terbaharu penyerang dari Colombia, Ayron Del Valle.