[EKSKLUSIF]

Oleh: MOHD FARIQ

USAHA Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, untuk menempatkan diri dalam Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menerima sokongan padu Kerajaan Persekutuan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengucapkan selamat berjaya kepada Hamidin dalam satu temu bual eksklusif dengan FLASH SUKAN.

“Saya mengucapkan selamat berjaya kepada Datuk Hamidin. Hakikat bahawa beliau dicalonkan untuk jawatan ini adalah bukti sumbangan besar beliau terhadap bola sepak sehingga kini.

“Saya percaya andainya Datuk Hamidin memenangi kerusi ahli majlis FAM nanti, bola sepak Malaysia akan menikmati faedahnya secara terus.”

Hannah meluangkan masa bertemu Hamidin berbincang mengenai bola sepak negara minggu lalu.

Malah, semasa pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Hamidin di Putrajaya baru-baru ini, perkara berkaitan pemilihan Exco Fifa turut terkeluar dalam topik perbincangan walaupun bukan berada dalam agenda sebenar.

Anwar yang sebaik mendapat tahu perkembangan ini secara peribadi begitu teruja dan dikhabarkan telah menghubungi
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk memastikan kerajaan memberi sokongan penuh buat pencalonan Hamidin.

Hamidin adalah antara tujuh pemimpin bola sepak benua Asia yang akan melalui proses pemilihan untuk lima kerusi ahli majlis badan induk dunia itu pada Kongres AFC di Manama, Rabu depan.

Tokoh lain yang dicalonkan ialah Presiden Persatuan Bolasepak Qatar (QFA), Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al-Thani, Presiden Persekutuan Bolasepak Asia Timur (EAFF), Du Zhaocai (China), Presiden Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) Kohzo Tashima; Presiden Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA), Chung Mong Gyu; Presiden Persatuan Bolasepak Filipina, Mariano Araneta dan Presiden Persatuan Bolasepak Arab Saudi, Yasser H Almisehal.

Hamidin berpeluang meneruskan tradisi wakil Malaysia dalam majlis Fifa yang dahulu dikenali sebagai jawatankuasa eksekutif FIFA yang dimulakan oleh Lim Kee Siong pada 1960, disusuli Tan Sri Hamzah Abu Samah (1972 dan kemudian menjadi Naib Presiden FIFA 1982-90) serta Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah (2015-2019).