MEMILIKI reputasi sebagai bekas juara dunia, menamatkan saingan keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023 di kedudukan kesembilan, jelas bukan keputusan yang diinginkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Menyuarakan rasa terkilan di Facebook miliknya, pelumba berusia 35 tahun itu berkata, keputusan itu perlumbaan itu tidak pernah terfikirkannya apa lagi tersingkir di pusingan kedua acara pecut dan terkandas di separuh akhir bagi saingan keirin.

Datuk Azizulhasni Awang mempamerkan prestasi cemerlang di ACC2023 namun keputusan sebaliknya di Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland.

“Tempat ke-9 untuk acara keirin dan juga tempat ke-9 untuk acara pecut individu. Bukanlah keputusan yang saya mahukan untuk penampilan terakhir di kejohanan dunia ini namun saya harus menerima dengan hati yang terbuka,” katanya, di akaun media sosial, Facebook.

Begitupun, sebagai pelumba berpengalaman, The Pocket Rocketman berlapang dada menerima keputusan berkenaan.

Luahan rasa terkilan Datuk Azizulhasni Awang di laman Facebooknya.

“Kita merancang, Allah merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang. Dari sudut yang positif, saya masih mendapat banyak kutipan mata untuk kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Saya juga ada membuat video penjelasan mengenai apa yang berlaku sepanjang perlumbaan Keirin di sini secara terperinci. InsyaAllah saya akan kongsikan di posting yang berikutnya.

“Terima kasih atas sokongan dan doa dari anda semua serta ribuan maaf diatas prestasi di sini,” kata Azizulhasni yang sebelum ini pernah meraih emas di kejohanan berkenaan dalam acara keirin pada 2017.

Azizulhasni menempatkan diri di tempat kesembilan dalam perlumbaan klasifikasi ketujuh hingga ke-12 berada di belakang Matthew Glaetzer (Australia) dan Kaiya Ota (Jepun).

Dia pada awalnya tidak berdepan masalah di peringkat suku akhir selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik untuk mara ke separuh akhir bersama-sama Jeffrey Hoogland (Belanda), Shinji Nakano (Jepun) dan Thomas Cornish (Australia).

Rakaman video Datuk Azizulhasni Awang menjelaskan situasi berlaku ketika perlumbaan di Kejohanan Dunia.

Bagaimanapun, di peringkat separuh akhir dia terpaksa akur selepas terkepung di bahagian dalam antara penyandang juara, Harrie Lavreysen (Belanda), Jack Carlin (Britain) dan Kevin Quintero (Colombia) yang menyaksikan ketiga-tiga lawannya berjaya mara ke final.

Emas keirin diraih Quintero selepas menamatkan penguasaan Lavreysen yang sebelum ini muncul juara tiga kali berturut-turut, manakala Matthew Richardson dari Australia membawa pulang perak dan Nakano melengkapkan podium di tempat ketiga.

Kejayaan Quintero yang berusia 24 tahun memadam kekecewaan tahun lalu apabila dia sekadar meraih gangsa dalam acara sama di Saint Quentin en Yvelines, Perancis.