BERITA kehadiran pemain naturalisasi Indonesia, Jordi Amat ke Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menarik minat banyak penyokong tempatan dan seberang hingga menjadi perbincangan hebat di media sosial.
Kehadiran Jordi ke JDT disahkan sendiri oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pada satu majlis bersama penyokong yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Isnin.
Perkara ini turut mendapat perhatian daripada pemain Sabah FC, Saddil Ramdhani yang dilihat gembira dengan kehadiran teman sepasukannya dari timnas Indonesia di Liga Malaysia.
Saddil dilihat menghormati keputusan yang dibuat oleh pemain naturalisasi itu yang memilih untuk beraksi bersama JDT kerana menganggap kelab selatan tanah air itu adalah yang terbaik di Asean ketika ini.
“Bagi saya, apa pun keputusan yang diambil oleh Jordi Amat, mungkin itu yang terbaik buat dirinya. Kita semua tahu bahawa JDT adalah pasukan terbesar di ASEAN, berkualiti dan sangat baik.
“Semestinya semua pasukan lain mahu mencontohi JDT dan mahu menjadi seperti JDT pada masa akan datang,” jelasnya kepada Flash Sukan selepas tamat perlawanan Liga Super dengan Selangor FC pada Selasa malam.
Amat, pemain kacukan Sepanyol – Indonesia ini mempunyai pengalaman beraksi di La Liga Sepanyol bersama pasukan Espanyol, Rayo Vallecano dan Real Betis serta pernah bermain di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama kelab Swansea City dan kini bersama kelab Belgium, Eupen FC.
Dengan pengalaman luas di liga besar antarabangsa, Amat akan menjadi aset baharu JDT dan juga skuad kebangsaan Indonesia dan pastinya akan menambah seri Liga Super Malaysia.