HARAPAN Malaysia untuk mara ke separuh akhir Sukan SEA 2025 kini bukan lagi di tangan sendiri. Kekalahan 0-2 kepada Vietnam semalam di Chonburi memaksa Harimau Muda menunggu detik penentu malam ini sama ada Indonesia dan Myanmar berkongsi mata atau tidak. Seri menjadi satu-satunya talian hayat yang mampu menolak Malaysia ke kelompok empat terbaik.

Ketua jurulatih, Nafuzi Zain tampil memohon maaf selepas aksi yang jauh daripada apa yang diharapkan penyokong. Nada kecewa jelas terzahir, namun beliau tetap mempertahankan usaha anak buahnya yang bekerja keras sepanjang perlawanan.

Menurutnya, pemain memberikan segalanya tetapi kekurangan penyudah dan kelekaan bertahan membezakan Malaysia dengan Vietnam pada malam tersebut.

“Saya ingin memohon maaf kerana kami tidak berjaya memberikan keputusan yang diharapkan penyokong. Saya juga sangat kecewa,” luah Nafuzi yang mengakui skuadnya melalui 90 minit yang sukar.

Beliau bagaimanapun merayu agar penyokong tidak berpaling daripada skuad muda negara. Katanya, semangat pemain tetap utuh meskipun berdepan situasi getir, dan mereka berjanji untuk bangkit jika diberi peluang mara ke separuh akhir.

“Para pemain telah berusaha sebaik mungkin. Harapnya walaupun keputusan tidak menyebelahi kami, penyokong tidak terus kecewa. Kami akan cuba bangkit dan memberikan sesuatu kepada mereka pada masa akan datang.”

Malaysia kini hanya mampu menunggu dan berdoa. Jika Indonesia dan Myanmar terikat seri, Harimau Muda akan melangkah ke separuh akhir. Jika tidak, perjalanan mereka di Chonburi akan berakhir lebih awal daripada apa yang dirancang.

Segalanya ditentukan malam ini satu perlawanan yang Malaysia tidak sertai, tetapi bakal menentukan masa depan mereka.