IMPIAN Speedy Tigers untuk kembali ke pentas Olimpik selepas kali terakhir beraksi pada Olimpik Sydney tahun 2000 kini kembali menyala. Dengan sistem kelayakan baharu yang baru sahaja diluluskan IOC untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028, peluang Malaysia kini lebih terbuka,namun laluan tetap penuh cabaran di peringkat tertinggi dunia.

Daripada 12 slot yang disediakan bagi kategori lelaki, 11 akan direbut melalui tiga laluan utama iaitu FIH Hockey Pro League, Kejohanan Benua, dan Pusingan Kelayakan Olimpik FIH pada awal 2028. Inilah ruang yang perlu dimanfaatkan Malaysia, khususnya melalui cabang Asia dan pusingan kelayakan, yang secara tradisinya menjadi medan paling realistis buat Speedy Tigers.

Laluan Pro League kekal sukar memandangkan ia dikuasai negara-negara ranking teratas dunia. Namun tumpuan besar Malaysia tertumpu kepada Sukan Asia Jepun 2026 di mana juara benua akan layak secara automatik sama seperti sebelum ini.

Jika gergasi Asia seperti India atau Pakistan terlebih dahulu layak melalui Pro League, slot Asia boleh ‘turun’ kepada pasukan terbaik seterusnya. Senario ini menjadikan peluang Malaysia lebih hidup, apatah lagi dengan perkembangan positif skuad kebangsaan di bawah program pembangunan dan pertandingan bertaraf tinggi yang dijadualkan dua tahun sebelum LA28.

Sekiranya tidak berjaya di peringkat benua, Malaysia masih mempunyai peluang kedua yang semakin penting di Pusingan Kelayakan Olimpik FIH. Dengan dua kejohanan kelayakan (setiap satu menghimpunkan 8 negara), hanya dua teratas dari setiap kejohanan akan layak. Laluan ini sangat realistik kerana peringkat tersebut bukan sahaja menghimpunkan pasukan Asia, tetapi juga negara-negara pertengahan ranking Eropah, Oceania dan Pan Amerika yang setanding dari segi kekuatan.

Penambahan venue bertaraf dunia di Carson Fields, Los Angeles yang bakal menjadi pentas penuh teknologi dan pengalaman penyokong menjadikan motivasi untuk kembali lebih besar. Malaysia sudah terlalu lama tidak berada di Olimpik, dan LA28 dilihat sebagai edisi paling terbuka sejak dua dekad lalu.

Dengan persiapan rapi, perancangan kompetitif dua tahun sebelum kelayakan, serta barisan pemain muda yang semakin matang, ini mungkin masa terbaik Speedy Tigers menghidupkan semula perjalanan Olimpik yang sudah terhenti lebih 20 tahun. Peluangnya ada kini terpulang kepada Malaysia untuk mengubahnya menjadi realiti.

TAMAT