KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menegaskan semua permohonan geran sukan mesti dibuat sendiri oleh persatuan tanpa melalui orang tengah.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, KBS tidak mengenakan caj permohonan dan komisyen, sekali gus menolak dakwaan bahawa wujudnya ejen yang boleh meluluskan permohonan.
Menurutnya, setakat ini tiada kes melibatkan wujudnya orang tengah dilaporkan kepada pihak berkuasa, namun ada desas-desus berlegar-legar berkaitan topik itu.
“Orang ramai diminta melaporkan kepada Unit Integriti KBS atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika menghadapi insiden sedemikian.”
Pada sidang media di Menara KBS, Putrajaya, beliau memaklumkan tiga dana, Geran Padanan Sukan (GPS), Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN), berjumlah RM100 juta untuk 2026, akan dibuka mengikut jendela permohonan yang akan dipaparkan di laman web KBS pada 15 Disember ini.
Beliau menambah, permohonan GPS, khas untuk kejohanan berprestasi tinggi dan bersifat tuntutan balik, dengan kelulusan maksimum sehingga RM1 juta bergantung kepada impak penganjuran.
DSK pula memberi tumpuan kepada sukan massa, dan katanya, “Jika permohonan kurang RM10,000, kita bayar terus; lebih RM10,000 kita salur berperingkat.”
Beliau menegaskan KWASN pula hanya meluluskan atlet yang menyertai kejohanan melibatkan ranking dunia, bukan perlawanan persahabatan.
Hannah turut memberi amaran bahawa “tidak ada mana-mana pihak boleh membida kejohanan antarabangsa tanpa kelulusan Menteri, termasuk penganjuran antarabangsa yang mahu dijalankan di negeri-negeri seluruh negara,” kerana ia boleh mengikat komitmen negara.