PENYERANG berbisa Tottenham Hotspur, Son Heung-min mengakui dua gol jaringannya ketika membenam Preston berjaya menyuntik semangat buat dirinya sebagai penggempur utama pasukan dengan membantu Tottenham layak ke pusingan kelima Piala FA.
“Saya perlukan gol tersebut untuk menaikkan semangat dan iltizam saya sebagai seorang pemain.
“Sebagai seorang penyerang, perkara yang paling penting adalah menjaringkan gol. Selain itu, saya turut gembira dapat membawa pasukan layak ke pusingan kelima Piala FA. Saya sangat gembira, sangat gembira,” kata pemain berusia 30 tahun itu.
Dalam pada itu, Penolong Pengurus Tottenham, Cristian Stellini memuji persembahan yang ditampilkan pemain tonggak dari Korea Selatan itu.

“Sonny adalah pemain yang hebat. Dia menunggu masa yang tepat untuk melakukan jaringan. Dia juga pemain yang sangat fokus di dalam padang,” ujar penolong jurulatih Tottenham.
Peledak The Lilywhites itu berjaya menjaringkan 23 gol sepanjang penampilannya bersama pasukan tersebut musim lalu yang telah melayakkannya merangkul Anugerah Kasut Emas.
Bagaimanapun, bintang Korea itu kelihatan masih tercari-cari rentak bagi menjelmakan semula sentuhan berbisanya bersama Hotspurs musim ini.
Dalam perlawanan tersebut, Tottenham Hotspur berjaya membenam Preston 3-0 bagi menempatkan diri ke pusingan kelima Piala FA yang dijadualkan pada Isnin depan.