SELANGOR FC gagal mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri apabila diikat Sabah 1-1 dalam aksi yang cukup mendebarkan di Stadium MBPJ Kelana Jaya.
Selepas dibelasah JDT pada perlawanan lalu, Selangor menampilkan perlawanan yang lebih kemas dan pantas yang nyata menghukum barisan The Rhinos yang jelas kehilangan arah dalam permainan.
Caion membuka tirai jaringan pada minit ketiga apabila menerima hantaran Alex Agyarkwa dan bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum melorongkan bola melepasi Khairul Fahmi Che Mat.
Khairul Fahmi juga terpaksa bekerja keras selepas itu untuk menafikan beberapa peluang baik terutama dari Brendan Gan dan sepakan percuma Mukhairi Ajmal bagi memastikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Bermula babak kedua, Sabah terus melancarkan asakan bertali arus ke kubu Selangor dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan solo Saddil Ramdhani yang menggembirakan ribuan penyokong Sabah.
Selepas jaringan itu, Datuk Ong Kim Swee membawa masuk penyerang baharu, Jose Embalo untuk menambah sengat jentera serangan Sabah dan dilihat berjaya mengucar kacirkan barisan pertahanan Selangor.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan Caion nyaris memberikan gol kemenangan buat Selangor pada minit ke-85 tetapi rembatannya sempat dihalang pertahanan Selangor.
Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Selangor kekal di tangga keenam dengan enam mata manakala Sabah naik ke tangga kedua dengan 19 mata ketinggalan tiga mata dari pendahulu liga, JDT.