PEMAIN tengah Selangor FC, Alex Agyarkwa memberitahu dia tidak mempunyai masalah untuk bergandingan dengan sesiapa pun kerana sudah mengenali cara permainan masing-masing.
Ini kerana dia sudah lama bersama pasukan dan berlatih bersama-sama sejak tiga bulan yang lalu dan kini dia menyasarkan untuk menjaringkan lebih banyak gol untuk Gergasi Merah.
“Saya tidak mempunyai masalah untuk bergandingan dengan sesiapa pun di bahagian tengah kerana kami sudah berlatih bersama selama tiga bulan jadi kami sudah mengenali cara permainan setiap pemain.
“Tiga tahun saya di sini dan saya sentiasa mahu menjaringkan gol. Sebagai pemain anda kadang-kadang bermain baik dan ada masa kurang baik, tetapi pastinya anda mahu jaringkan gol.

Pemain-pemain Selangor FC menjalani latihan menjelang aksi suku akhir Piala FA bertemu Negeri Sembilan FC pada Sabtu.
Pemain kelahiran Ghana itu turut mengakui ketiadaan Brendan Gan pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan pada Sabtu memberi kesan kepada pasukan kerana Brendan adalah seorang pemimpin dalam pasukan dan kehadirannya sentiasa memberi motivasi tambahan untuk para pemain.
“Sudah tentu kami akan merasai ketiadaan Brendan Gan, dia adalah pemimpin bagi kami. Setiap kali dia bermain ianya memberi motivasi yang tinggi kepada kami, jadi pastinya kami akan rindukannya dan berharap dia akan kembali dengan lebih baik selepas ini,” katanya ketika ditemui menjelang aksi bertemu Negeri Sembilan FC.
Selangor FC akan berhadapan Negeri Sembilan FC pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan Alex menjangkakan perlawanan yang sukar namun berharap Selangor akan layak ke pusingan seterusnya.