‘NEVER Give Up’ menjadi slogan kepada kerjasama Health Lane Family Farmacy bersama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Pengurus Pemasaran Health Lane, Calvin Lau Kar Weng berkata slogan tersebut dipilih kerana ia merupakan mesej yang ingin disampaikan berikutan kebanyakan masyarakat cenderung kepada sikap putus asa terhadap impian dalam kehidupan mereka.

“Mesej ‘Never Give Up’ bertujuan untuk memberi inspirasi kepada individu untuk terus mengejar impian mereka dan mencapai kejayaan melalui keinginan, dedikasi dan ketabahan diri.

“Kekurangan kepercayaan dalam diri dan tekanan sering menyebabkan masyarakat bekerja tanpa sebarang minat dan hanya menunggu gaji bulanan untuk hidup,” kata Calvin dalam sidang media dalam Majlis MoU yang berlangsung pada Khamis.

Jelasnya, sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Health Lane telah memilih MPM untuk memacu ‘Paralympic Movement’ ke tahap yang lebih tinggi di negara susulan rekod telah mencapai kejayaan besar dalam pertandingan Para-Sukan.

Dalam masa yang sama, melalui kerjasama ini juga ia boleh mendapatkan sokongan daripada orang awam mengenai sukan para dengan meletakkan ‘Donation Box’ di 200 outlet Health Lane yang berada di seluruh negara.

Sementara itu, Presiden MPM Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin memberitahu bahawa atlet-atlet kini telah bersiap sedia untuk Sukan Paralimpik Paris 2024 sekaligus menanam hasrat bagi meningkatkan jumlah pingat emas sempena kempen ‘TambahEMAS’.

Megat D.Shahriman Zaharudin

“Perjanjian ini akan mengambil masa selama tujuh bulan bermula 1 Jun hingga 31 Disember dan melalui slogan ‘Never Give Up’ kami ingin kongsikan dengan rakyat yang mungkin tidak tahu mengenai Sukan Para agar mereka berikan sokongan khususnya dari segi dana.

“Dengan usaha ini saya percaya kita bukan hanya buat untuk tujuh bulan tetapi boleh lebih lama lagi kerana apa yang utama bagi kami adalah kesedaran kepada orang awam melalui program ini,” ujar beliau.

MPM akan menghantar Pasukan Para Malaysia ke Sukan Paralimpik Paris 2024, yang akan berlangsung di Perancis pada 28 Ogos sehingga 8 September 2024.

MPM kini dalam misi ‘TambahEMAS’ serta menyasarkan pingat emas ke-10 selepas 9 emas diraih pada dua temasya iaitu Sukan Paralimpik di Rio pada 2016 (enam emas dan  tiga  di Paralimpik Tokyo 2020.