HERO Harimau Malaya dalam kemenangan ke atas Chinese Taipei, Darren Lok tidak sempat berfikir apa-apa ketika bola datang kepadanya dan hanya bereaksi lebih cepat untuk menjaringkan gol pertama dan juga gol kemenangan buat Harimau Malaya.

Dia yang menganggap tuah hadir kepadanya dengan jaringan itu bagaimanapun tidak mahu dibuai kelekaan dan mahu terus fokus kepada tugasan selepas ini lebih mencabar iaitu Piala Asia 2023 di Doha, Qatar pada Januari 2024.

“Saya tidak fikir apa-apa ketika itu dan cuba ‘react’ lebih cepat dan ianya memberikan gol dan tiga mata. Saya jangkakan Faisal Halim akan dapatkan bola tetapi itulah bola sepak, malam ini adalah malam bertuah saya.

“Dua aksi awal ini sangat penting kerana sejak dari hari pertama kem kebangsaan kami tahu kami perlu menang dalam dua perlawanan ini. Malam ini bukan mudah kerana keadaan padang yang sukar dan mereka juga lawan yang fizikal jadi untuk membawa balik tiga mata adalah pencapaian yang besar,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.

Ditanya apakah pesanan jurulatih ketika dia dibawa masuk, Darren berkata Pan-gon hanya mahu dia mengambil peluang yang hadir dalam kotak penalti dan akhirnya dia berjaya menjaringkan gol kemenangan yang juga gol pertamanya dalam Kelayakan Piala Dunia.

“Pada ketika itu tidak banyak jurulatih katakan dan saya hanya menunggu peluang yang tiba dan akhirnya kami berjaya ambil peluang itu dan tiga mata menjadi milik kita.

“Piala Asia adalah satu lagi kejohanan dan tahu ianya bukan mudah dengan tiga pasukan yang baik dalam kumpulan tetapi apa yang pasti kami akan berikan 100% kepada rakyat Malaysia,” jelasnya.

Darren juga turut mengucapkan terima kasih atas sokongan penyokong yang hadir ke stadium kerana padanya mereka sentiasa menjadi sebahagian daripada kekuatan Harimau Malaya.

Jaringan tunggalnya pada minit ke-72 selepas sembilan minit dimasukkan nyata menjadi pemisah kedua-dua pasukan dengan Malaysia berjaya menamatkan badi tidak pernah menang di Taipei sebelum ini.