HARIMAU Malaya menepati jangkaan awal apabila berjaya mencatat kemenangan kedua dalam Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas menewaskan Chinese Taipei 1-0 dalam aksi di Stadium Perbandaran Taipei.
Kim Pan-gon melakukan empat pertukaran dari kesebelasan utama ketika menang ke atas Republik Kyrgyz dengan memberi peluang kepada Junior Eldstal, Afiq Fazail, Paulo Josue dan Akhyar Rashid untuk memulakan perlawanan.
Malaysia lebih banyak mengatur gerak dengan beberapa percubaan menerusi Arif Aiman, Faisal Halim dan Stuart Wilkin namun tidak menepati sasaran dan diselamatkan penjaga gol lawan.
Pasukan Chinese Taipei menggunakan kekuatan pemain naturalisasinya Kouame Ange Samuel dan Chen Hoa Wei untuk mengkucar-kacirkan pertahanan Malaysia namun mudah dipatahkan.
Kedudukan 0-0 kekal hingga tamat babak pertama dengan Pan-gon kelihatan tenang melangkah ke bilik persalinan untuk memberikan kata-kata semangat buat para pemain agar bangkit pada babak kedua.
Bersambung babak kedua, Faisal Halim berpeluang membuka jaringan buat Harimau Malaya namun dia memilih untuk menghantar kepada Akhyar Rashid yang dapat disekat pertahanan lawan.
Pertukaran taktikal dilakukan Pan-gon memasuki minit ke-63 dengam membawa masuk Darren Lok dan Endrick Dos Santos menggantikan Afiq Fazail dan Paulo Josue untuk menambah sengat barisan serangan.
Pan-gon sekali lagi membuktikan dia mempunyai taktikal genius apabila tidak sampai 10 minit dimasukkan, kedua-dua pemain itu melakukan impak dengan Darren Lok menjaringkan gol selepas rembatan Endrick gagal dikeluarkan dengan kemas oleh penjaga gol lawan.
Gol itu nyata menggembirakan sebilangan penyokong Malaysia yang hadir dari jumlah 9,521 di stadium dan menaikkan lagi semangat para pemain untuk memburu gol kedua.
Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Malaysia pulang dengan tiga mata penuh dan enam mata maksimum dari dua perlawanan awal sekali gus semakin mencerahkan peluang buat Harimau Malaya ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak ke peringkat kumpulan Piala Asia 2027.