MALAYSIA menutup kempen Piala AFC B-23 dengan nota kekalahan selepas tumpas 2-0 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan C di Tashkent, Uzbekistan sebentar tadi.

Kegagalan dari segi hantaran jelas merencatkan permainan pasukan Harimau Muda, apabila kawalan bola mudah dipatahkan pemain Vietnam.

Pada perlawanan itu, pemenang Sukan Sea 2022 meledak gol menerusi tandukan Nham Manh Dung m-28 dan sepakan penalti yang disempurnakan kapten pasukan, Bui Hoang Viet Anh di penghujung babak pertama.

Malang buat pemain Brad Maloney apabila Muhammad Hairiey Hakim Mamat dilayangkan kad merah dan terpaksa beraksi kurang seorang pemain 45 minit berikutnya.

Golden Star Warriors mengumpul enam mata selepas tiga perlawanan berada di kedudukan kedua mengiringi juara bertahan Korea Selatan ke suku akhir, manakala Malaysia tanpa sebarang mata di kedudukan tercorot dan pulang ke tanah air sebagai pasukan belasahan.

Pencapaian terbaik skuad bola sepak negara kejohanan ini adalah layak ke suku akhir pada edisi 2018.