SELEPAS dikejutkan Filipina, skuad Malaysia Bawah 23 (B-23) kembali menemui taring apabila membelasah Brunei 7-1 dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Mandiri ASEAN 2025 di Stadium Gelora Bung Karno malam ini.

Mahu menebus maruah, barisan Nafuzi Zain tampil garang sejak sepak mula dengan beberapa pertukaran ketara dilakukan. Hasilnya, jaringan pertama hadir seawal minit ke-3 apabila Danish Syamer menyambar hantaran lintang Aiman Yusuf untuk meletakkan Malaysia di depan.

Hanya seminit selepas itu, tekanan berterusan memaksa pertahanan Brunei, Nazry Aiman menjaringkan gol sendiri susulan cut-back Shafizan Arshad — sekaligus meletakkan Harimau Muda 2-0 di hadapan.

Kejayaan awal itu membakar semangat pemain negara apabila minit ke-31, gerakan lincah Haqimi Azim yang menghantar bola ke dalam kotak disambar Hayqal Danish untuk gol ketiga. Empat minit sebelum tamat separuh masa pertama, Haqimi pula mencetak nama sebagai penjaring menerusi kombinasi satu dua bersama Hayqal, menjadikan kedudukan 4-0 di babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, tempo permainan sedikit perlahan namun Malaysia masih mengawal permainan. Minit ke-68, Danish Hakimi menceriakan kem negara dengan gol kelima selepas gerakan terancang barisan serangan.

Namun Brunei sempat menghadiahkan kejutan apabila Haziq Naqiuddin menembusi gawang Malaysia pada minit ke-75 untuk gol sulung kejohanan mereka. Tetapi kealpaan itu segera ditebus apabila seminit kemudian, Fergus Tierney menyumbat gol keenam Malaysia menerusi rembatan kencang.

Pada minit ke-88, kesilapan pertahanan Brunei menghadiahkan satu lagi peluang kepada Haqimi yang tenang menolak masuk gol ketujuh negara, sekaligus melengkapkan malam gemilang skuad muda negara.

Kemenangan ini bukan sahaja menghidupkan semula peluang ke separuh akhir, malah menjadi suntikan moral menjelang aksi getir terakhir kumpulan menentang tuan rumah Indonesia pada 21 Julai nanti.