EMPAT pemain tempatan diumum sebagai calon menggantikan Dominic Tan dan Sergio Aguero dalam skuad ASEAN All-Stars yang bakal berentap menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United, pada 28 Mei 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan keempat-empat pemain yang dicalonkan kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) ialah Ahmad Khuzaimi Piee (Selangor FC), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC), Adib Abdul Raop (Penang FC), dan Azam Azmi Murad (Terengganu FC).

Kesemua pemain ini pernah menyarung jersi Harimau Malaya dan dijangka menambah kekuatan skuad serantau bimbingan jurulatih Kim Sang Sik.

Dominic dan Aguero sebelum ini tidak mendapat pelepasan kerana terikat dengan kem latihan pusat Harimau Malaya yang bermula 16 Mei sebagai persiapan menghadapi Vietnam dalam kelayakan Piala Asia 2027.

Dalam masa yang sama, jualan tiket rasmi bagi perlawanan blockbuster ini telah dibuka sejak 15 April 2025, bermula jam 11 pagi menerusi platform www.myticketempire.com. Harga tiket bermula serendah RM50 hingga RM1,500, meliputi pelbagai kategori termasuk premium dan tempat duduk eksklusif – satu peluang keemasan untuk peminat menyaksikan bintang dunia turun beraksi di bumi Malaysia.

Aksi yang dijadualkan pada Selasa, 28 Mei, jam 8.45 malam ini bukan sahaja bakal menjadi pesta bola sepak, malah dijangka memberikan impak besar kepada sektor pelancongan sukan negara dan menarik perhatian media antarabangsa, sekaligus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai lokasi acara sukan berkelas dunia.