AKSI cemerlang Faisal Halim ketika Piala Asia 2023 di Qatar akan memberikan satu kelebihan buat Selangor FC untuk menghadapi musim baharu 2024-25 di mana Gergasi Merah akan beraksi di dua kejohanan ‐ Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Faisal atau lebih mesra disapa Mickey berjaya menjaringkan satu gol menarik ketika membantu Harimau Malaya mengikat jagoan Asia, Republik Korea hingga dipilih dalam kesebelasan terbaik MD3 Piala Asia 2023 oleh AFC.

Namun bagi Selangor FC, kejayaan ini akan menjadi cabaran terbesar buat kelab untuk memastikan mereka dapat menyediakan pentas terbaik buat Faisal Halim untuk dia lebih menyerlah dan dapat mempamerkan kualiti yang ada pada dirinya seperti dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon kepada FLASH SUKAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon

“Selepas persembahan Faisal Halim di Piala Asia, dia membuktikan dia tidak jauh atau setanding dengan pemain-pemain yang bermain di liga lebih besar dan ini menjadi satu perkembangan positif buat dirinya dan pasukan Selangor.

“Cabaran utama adalah bagaimana kami sebagai kelab mahu membawa Faisal ke peringkat yang lebih tinggi dan ini adalah cabaran yang perlu kita sahut dan perlu kembangkan di peringkat kelab.

“Kejayaan layak ke ACL2 akan menjadi pentas terbaik buat Selangor mengetengahkan kualiti yang ada bukan sahaja buat Faisal Halim tetapi juga pemain-pemain muda yang lain dan kami berbangga kerana menjadi sebahagian daripada pertandingan ini,” katanya.

Selangor juga sudah bersedia untuk menghadapi jangkaan penyokong musim ini yang pastinya mahu menyaksikan kejayaan dapat didakap oleh Gergasi Merah dengan kehadiran ramai barisan pemain berkualiti dalam pasukan.

“Kita tidak boleh lari dari jangkaan penyokong kerana ramai pemain berkualiti ada dalam pasukan Selangor dan atas sebab itu kami mahukan pemain yang mampu memberikan impak buat pasukan,” ujarnya.

Johan juga mengesahkan beberapa pemain sudah menandatangani kontrak untuk kekal bersama Selangor manakala ada pemain yang akan dipinjamkan ke kelab lain dengan senarai akhir bakal diketahui dalam tempoh dua minggu.