PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi tetap menyatakan kegembiraannya atas kejayaan pasukan meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selama 80 minit selepas menerima kad merah awal.
Menurutnya, kejayaan ini membuktikan semangat juang tinggi yang ditampilkan oleh anak buahnya untuk muncul juara MFL Challenge Cup 2024/25 selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas PDRM FC dalam perlawanan akhir pertama.
Ujarnya, kejayaan ini menjadi detik bersejarah buat skuad Gergasi Merah yang menghadapi cabaran besar sepanjang perlawanan.
“Kami tahu kami harus berjuang selama 80 minit dengan 10 pemain sahaja. Pada separuh masa, kami berbincang dan mencapai kata sepakat bahawa kami perlu berada di halaman yang sama. Saya menceritakan sejarah Selangor FC kepada mereka kerana setiap pemain ada sejarah sendiri yang membawa mereka ke tahap ini,” katanya selepas perlawanan.

Kinoshi memberi arahan dari tepi padang kepada pemain Selangor FC.
Menurut Kinoshi, pasukannya harus menjawab ujian yang diberikan oleh sejarah dan bertindak balas dengan semangat berpasukan.
“Jika anda berada dalam situasi sukar, bagaimana anda akan bertindak balas? Inilah ujian yang diberikan kepada kami, dan kami telah berjaya menjawabnya,” tambahnya.
Kinoshi turut menegaskan mereka perlu segera fokus kepada perlawanan seterusnya menentang PDRM FC hujung minggu ini.
“Kemenangan ini sudah berlalu. Kami perlu bersiap sedia untuk perlawanan seterusnya dan menunjukkan semangat pantang menyerah kepada penyokong kami dan semua yang bekerja untuk Selangor FC,” katanya.
Ketika ditanya mengenai keputusan pengadil yang memberikan kad merah, Kinoshi menjawab dengan tenang:
“Dalam dunia bola sepak, jika pengadil memberikan kad merah, tiada siapa yang boleh mengubahnya. Kad merah adalah kad merah. Kami harus menerimanya dan bertindak balas dengan cara yang betul. Inilah ujian daripada sejarah yang perlu kami jawab.”
Mengenai kepercayaan terhadap pemainnya, Kinoshi menegaskan bahawa dia percaya kepada semua orang dalam skuadnya tanpa ragu.
“Jika seorang jurulatih tidak percaya kepada pemainnya, itu bukanlah satu pasukan. Saya percaya kepada semua yang bekerja untuk pasukan ini, termasuk anda semua,” katanya.
Jurulatih kelahiran Jepun itu turut berkongsi pengalamannya dalam perlawanan besar, termasuk ketika membantu Serbia menewaskan Portugal untuk melayakkan diri ke Piala Dunia.
“Saya pernah berdepan pemain besar seperti Cristiano Ronaldo, Jota, dan Cancelo dalam stadium penuh dengan 50,000 penonton. Namun, bagi saya, perlawanan ini sama sahaja kerana ini adalah tugas kami,” tambahnya.

Fortes meletakkan tuan rumah di hadapan dengan jaringan pendahuluan apabila mudah menolak bola ke gawang PDRM.
Ketika ditanya mengenai persiapan untuk perlawanan kedua final, Kinoshi mengakui terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki.
“Setiap pasukan ada kelemahan. Ada saat di mana pemain terkejut dan kehilangan fokus sehingga menyebabkan dua gol dibolosi. Ini yang perlu kami perbaiki agar tidak berulang. Namun, saya yakin mereka sudah faham dan bersedia untuk membetulkannya.”
Beliau juga menekankan bahawa fokus utamanya sekarang adalah perlawanan hujung minggu ini.
Mengenai prestasi kapten pasukan, Kinoshi berkata: “Kapten hanyalah satu jawatan. Dalam situasi sukar, setiap pemain perlu menjadi kapten dan memimpin pasukan. Saya gembira dengan semangat mereka.”
Dengan kemenangan ini, Selangor FC kini berada di ambang kejuaraan MFL Challenge Cup 2024/25 dan akan berusaha menamatkan cabaran dengan cemerlang dalam perlawanan akhir kedua nanti.
FOTO : SELANGOR FC