SLOT Piala AFC 2024 terus menjadi sasaran utama yang perlu dicapai Selangor FC dan diterjemahkan dałam saingan Liga Malaysia 2023 (LIga-M) yang bakal memulakan tirai saingan hujung Februari nanti.

Bergelar juara Piala Malaysia, Piala FA mahupun Liga Super adalah kejayaan yang perlu diraih Gergasi Merah seandainya mengimpikan pentas Asia dan mereka hampir berjaya melakukannya namun terpaksa berpuas hati selepas tewas 1-2 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kini dengan adunan pemain sedia ada dan baharu serta kejurulatihan termasuklah gandingan Tan Cheng Hoe bersama Ramon Marcote, Merah Kuning kini dilihat salah satu pasukan yang mampu meraih slot Piala AFC.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menegaskan pasukannya itu lebih baik daripada musim-musim sebelumnya berdasarkan penambahan yang dilakukan sebelum musim bermula.

Gandingan import lama dan baharu pastinya menjadi nilai tambah buat Cheng Hoe untuk merangka strategi.

“Saya percaya skuad musim ini boleh jadi lebih baik daripada musim depan, tetapi untuk hentikan dominasi JDT itu jauh lagi.

“Sasaran kami masih lagi untuk layak ke Asia, musim lalu tak berjaya jadi kami harap boleh realisasikan musim ini, tak kisahlah daripada slot liga, Piala FA atau Piala Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, Selangor kini semakin berhati-hati  memilih pemain import selepas beberapa pemain yang tidak menjadi sebelum ini.

“Ramai pemain yang sukar menyesuaikan diri sebelum ini sama ada dari segi cuaca, jenis rumput yang digunakan di Liga Malaysia dan lain-lain.

“Kami kini melihat banyak aspek sebelum membuat keputusan untuk menandatangani seseorang pemain, dan lebih gemar kepada pemain daripada Amerika Selatan dan Afrika disebabkan cuaca dan kualiti padang yang seakan-akan sama dengan Malaysia,” ujarnya.