GERGASI Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) terlepas peluang untuk melebarkan jurang kelebihan lima mata selaku pendahulu Ligue 1 apabila terpaksa berkongsi satu mata selepas seri 1-1 berdepan Reims.

PSG kini mencicirkan mata dalam tiga daripada empat aksi liga pada 2023 dengan prestasi semasa dipamerkan menghadirkan kebimbingan menjelang pertemuan pusingan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich dua minggu lagi.

Penyerang pinjaman dari Arsenal, Folarin Balogun meledak gol penyamaan menakjubkan pada minit ke-96 ketika Reims bertahan menentang pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain yang bermain 10 orang selepas pemain gantian, Marco Verratti dibuang padang.

Jaringan awal babak kedua Neymar pada minit ke-51 tampak sudah cukup buat PSG memungut mata penuh Reims berjaya mendapatkan keputusan seri dimahukan apabila Balogun meledak pada penghujung aksi.

“Secara keseluruhan kami tidak boleh berpuas hati dengan cara persembahan kami. Ia bukan persoalan kami berasa bimbang tetapi kami perlu segera mencari kemenangan dan bermain sebagai sebuah pasukan berbanding cara kami ketika ini.

“Melepaskan gol selepas 95 minit dengan pemain berpengalaman dimiliki kami – ia merosakkan kami dalam aspek mencicirikan mata, namun ia juga sangat mengejutkan,” tegas pengendali PSG, Christophe Galtier.