PASUKAN Selangor FC tidak mahu sekadar jadi pelengkap jadual, sebaliknya berazam menampilkan ‘DNA Red Giants’ apabila melayan kunjungan Bangkok United dalam aksi pertama ACL 2 di Stadium MBPJ, esok.
ketua Jurulatih, Kinoshi Katsuhito menegaskan Gergasi Merah tidak akan goyah dengan reputasi lawan, sebaliknya akan setia kepada identiti bola sepak mereka sendiri.

Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi (kanan) bersama pertahanan Kevin Deeromram dalam sidang media pra perlawanan ACL 2 di Stadium MBPJ pada Rabu. FOTO: Selangor FC
“Kami sangat berbesar hati dapat berada di kejohanan ini. Ia peluang besar untuk berdepan pasukan hebat dari negara lain. Kami tidak takut dengan apa jua keputusan, tapi kami akan bermain 100 peratus untuk menang dan mara sejauh mungkin,” katanya dalam sidang media praperlawanan hari ini.
Kinoshi mengakui Bangkok United memiliki keseimbangan pasukan yang mantap dengan kombinasi pemain Serbia, Brazil dan Jepun selain semangat juang yang tinggi selepas menewaskan Chonburi dalam aksi liga mereka.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu anak buahnya terlalu fokus kepada kelebihan lawan. “Yang penting bukan siapa lawan kita, tetapi siapa kita. Kami hanya mahu fokus kepada gaya permainan kami – Selangor Style,” tegasnya.

Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi (kanan) bersama pertahanan Kevin Deeromram dalam sidang media pra perlawanan ACL 2 di Stadium MBPJ pada Rabu. FOTO: Selangor FC
Faktor cuaca panas dan keadaan padang turut disentuh Kinoshi, namun dianggap bukan alasan untuk menjejaskan persembahan. Malah, beliau percaya kedua-dua pasukan berada dalam kondisi yang sama dan Selangor harus bijak menggunakan apa sahaja keadaan sebagai kelebihan.
Jurulatih Jepun itu juga mengingatkan pemainnya agar tidak terlalu selesa dengan kelebihan beraksi di laman sendiri.
“Ya, kita tuan rumah ada kelebihan. Tapi kalau kita terlalu fikir tentang itu, kita akan jadi lemah. Paling penting ialah fokus bagaimana untuk bermain,” jelasnya.
Selangor kini bersedia untuk mempertaruhkan barisan terbaik demi menghadiahkan kemenangan pertama buat penyokong mereka di pentas ACL 2 musim ini.