PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengakui dibolosi awal menerusi gerakan ‘set piece’ menjejaskan konsentrasi pemainnya hingga dibolosi dua lagi gol pada 20 minit pertama perlawanan sebelum berjaya mengimbangi permainan namun sudah terlewat.

Dalam aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) di Stadium Ulsan Munsu, Korea Selatan itu, JDT ketinggalan tiga gol seawal 18 minit permainan untuk terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas tewas 1-3 kepada tuan rumah, Ulsan Hyundai.

“Ianya adalah satu perlawanan yang sukar. 20 minit pertama kami dihukum awal dengan gol dari ‘set pieces’ dan menjejaskan konsentrasi sebelum dua lagi gol dijaringkan tanpa penjaga gol kami menyentuh bola.

“Namun selepas itu, kami mula mengimbangi perlawanan dan mula cipta peluang pada babak pertama. Kami dapat jaringkan gol awal di babak kedua tetapi tidak dapat jaringkan lebih lagi dan kena terima keputusan ini.

“Saya katakan pada pemain kita tidak memulakan perlawanan dengan betul apa dan dibolosi tiga kali. Ulsan Hyundai mempunyai ketepatan di depan gol kali ini. Kami teruskan bermain lebih agresif dan kami perlu belajar dalam semua perkara menerusi perlawanan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Solari juga percaya JDT masih mempunyai peluang layak ke peringkat 16 terbaik sekiranya mereka mengekalkan corak dominan dan dia yakin skuad bimbingannya mampu memberikan lebih baik dari aksi di Ulsan ini.

“Saya percaya kami mampu mencipta peluang dan lawan mula memperlahankan perlawanan yang mana ia membuktikan kami melakukan sesuatu yang betul diatas padang dan tidak sabar untuk perlawanan seterusnya meskipun kami sedih dengan keputusan ini kerana tahu kami mampu lakukan lebih lagi.

“Apa yang boleh saya katakan, semua perlawanan dalam ACL adalah sukar dan kini kami akan bermain di tempat sendiri selepas ini dan bukan mudah juga tetapi kami sudah bersedia. Jika kami beraksi dominan seperti babak kedua dan mendapat mata, peluang kami masih terbuka, oleh itu perlawanan selepas ini sangat penting,” jelasnya menjawab soalan FLASH SUKAN.

Harimau Selatan dikejutkan tiga gol dalam tempoh 18 minit menerusi gol ketua pasukan Ulsan Hyundai, Jung Seunghyun dan dua gol daripada Gustav Ludwigson sebelum Bergson menjaringkan gol saguhati pada babak kedua untuk keputusan akhir memihak tuan rumah.