STADIUM Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kini telah bersedia untuk menjadi gelanggang rasmi perlawanan Piala AFC Kumpulan H selepas menerima lawatan delegasi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Selasa.
Delegasi yang diketuai Komisioner Perlawanan (MC), Mai Hoang dari Vietnam itu telah memberikan lampu hijau kepada stadium itu untuk Kuala Lumpur City melayan kunjungan Tampines Rovers dan PSM Makassar yang akan bermula Jumaat ini.
Pihak yang bertanggungjawab menguruskan stadium ini, Arcadin Services Sdn Bhd bersama-sama kelab Kuala Lumpur City juga dilihat sudah menaik taraf beberapa fasiliti dan memperindah stadium bagi mematuhi ketetapan yang telah ditetapkan oleh AFC.

Beberapa kemudahan yang dinaik taraf adalah seperti perletakan hamparan padang tiruan bagi tujuan pemanasan badan para pemain, bilik mesyuarat, bilik media dan pembersihan kerusi penyokong menjelang aksi pembukaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Arcadin Services Sdn Bhd, Afizal Abu ketika ditemubual secara eksklusif oleh FLASH SUKAN berkata, dia berpuas hati dengan projek naik taraf dan pengindahan stadium ini.
“Sesi pemeriksaan oleh delegasi AFC pagi tadi sangat baik dan pihak stadium mendapat maklum balas yang baik dari MC dan pihak kami akan membuat sedikit penambahbaikan sebelum bermula perlawanan pertama pada 24 Jun ini”.

Kuala Lumpur terpilih oleh AFC untuk menjadi salah satu venue berpusat bagi memastikan kelancaran kejohanan kelab tier kedua benua yang terpaksa dibatalkan pada 2021 ekoran penularan pandemik Covid-19.
Kuala Lumpur City bakal bertemu wakil Indonesia, PSM Makassar Jumaat ini sebelum Tampines Rovers berhadapan PSM Makassar pada 27 Jun dan skuad warga kota akan melengkapkan aksi bertemu Tampines Rovers pada 30 Jun.