PASUKAN gergasi Asia Tenggara, Paper Rex (PRX) memulakan kempen Valorant Champions 2025 Paris dengan bergaya selepas menewaskan wakil China, Xi Lai Gaming (XLG), 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada 12 September, kemenangan ini bukan sahaja mengukuhkan reputasi mereka sebagai juara VCT Pacific Stage 2, malah memberi tonik semangat sebelum pertembungan penting menentang GiantX.
Dalam siri best-of-three itu, PRX terlebih dahulu beraksi di peta Bind. Walaupun bermula perlahan dan kedua-dua pasukan saling berbalas mata, pengalaman dan ketenangan PRX membolehkan mereka mengawal tempo permainan untuk menutup peta dengan keputusan 13-9.
Momentum kemenangan diteruskan di peta kedua, Sunset, apabila PRX tampil lebih agresif dan dominan. Barisan pemain mereka tidak memberi ruang kepada XLG untuk bangkit, sekaligus menamatkan perlawanan dengan kemenangan mudah 13-5, melengkapkan kemenangan bersih 2-0.
Dua pemain utama, Ilia “something” Petrov dan Wang “Jinggg” Jing Jie, menjadi tumpuan dengan aksi bertenaga terutamanya di Bind, di mana mereka memimpin serangan PRX dan memecahkan benteng pertahanan lawan pada saat-saat penting. Prestasi ini menambah keyakinan skuad PRX yang terkenal dengan gaya permainan agresif dan penuh kreativiti.
Kemenangan awal ini meletakkan Paper Rex di kedudukan selesa dalam Kumpulan A yang turut dihuni oleh Sentinels dan GiantX. Satu lagi kemenangan sudah cukup untuk memastikan kemaraan mereka ke peringkat playoff di Paris.
Dengan cabaran menentang GiantX pada malam ini, PRX dijangka berdepan ujian sebenar. Semua mata kini tertumpu kepada juara Asia Tenggara itu, sama ada mereka mampu mengekalkan momentum cemerlang atau GiantX akan menjadi pasukan pertama yang menghentikan rentak PRX di pentas dunia.
Kredit Gambar : VLR.GG