Select Page

Selepas pecat Lampard, kini Everton akan dijual

Selepas pecat Lampard, kini Everton akan dijual

 

PEMILIK Everton, Farhad Moshiri dilaporkan sedang dalam proses akhir untuk menjual kelab itu setelah bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim 2022-2023 dengan kini di tangga ke-19 dengan hanya 15 mata.

Skuad The Toffees setakat ini hanya mampu mencatat tiga kemenangan dari 20 perlawanan yang menyaksikan Frank Lampard dipecat kelab sejak mengambil alih Everton pada Januari 2022.

Berita malang buat penyokong Everton tidak berhenti di situ sahaja apabila dua bintang mereka Anthony Gordon dan Amadou Onana dilaporkan memilih untuk tidak hadir pada sesi latihan kerana mendapat perhatian daripada kelab lain.

Anthony Gordon dilaporkan dipancing Newcastle sementara Arsenal sedang memantau situasi Amadou Onana manakala pemain yang mahu dibawa masuk dari Villareal, Arnaut Danjuma pula telah memilih Tottenham Hotspur sebagai destinasinya di England.

Melihat kepada keadaan yang getir kebelakangan ini, pemilik Everton Farhad Moshiri dikhabarkan terbuka untuk menjual Everton kepada mana-mana penyokong dengan menawarkan harga melebihi £500 juta.

Moshiri sendiri sudah mula mencari pelabur dari luar sejak akhir tahun lalu tetapi akhirnya memutuskan untuk menjual kelab Merseyside itu dengan melepaskan pegangan saham sama ada minoriti atau majoriti.

Dia dilaporkan mahu berbuat demikian kerana mahu mendapatkan semua wang yang sudah dilaburkan untuk membina stadium baharu menggantikan Goodison Park.

Sejak membeli Everton pada Februari 2016, Moshiri telah membelanjakan sekitar £700 juta untuk membawa lebih 50 pemain namun gagal mendapatkan hasil seperti yang diharapkan.

 

Video Terkini

Loading...