SKUAD hoki kebangsaan kembali fokus kepada saingan Piala Dunia 2023 sebaik tiba di Rourkela semalam.
Menurut Pengurus pasukan Datuk Mirnawan Nawawi, sebaik tiba di perkampungan sukan Rourkela semalam, pemain fokus kepada proses pemnulihan dan mula berlatih di gimnasium, pagi tadi.
“Petang ini kira-kira jam 4 petang (6.30 petang waktu Malaysia), pemain akan menjalani latihan di padang di sini dan jurulatih Arul (A Arulselvaraj) bersama barisan kejurulatihan sudah merancang apa yang perlu pemain lakukan.
“Pemain akan menjalani latihan lebih fokus kepada menaikkan heart beat, membiasakan diri sekali lagi dengan gelanggang di Rourkela. Jurulatih juga akan fokus kepada teknikal pemain selain taktikal yang akan digunakan menentang Afrika Selatan,” kata Mirnawan.
Esok (Rabu), skuad negara akan turun beraksi pada penentuan kedudukan 9-16 menentang Afrika Selatan di Stadium Birsa Munda, Rourkela, kira-kira jam 2 petang waktu Malaysia.
Mengulas mengenai kondisi pemain, Mirnawan berkata, pemain masih berasa kecewa selepas tewas kepada Sepanyol dan gagal ke suku akhir, namun situasi sedemikian perlu ditempuhi setiap pemain di peringkat antarabangsa.
“Sebagai atlet antarabangsa, perkara sebegini boleh berlaku di sepanjang kejohanan. Paling utama, pemain mampu membuat kebangkitan semula, fokus kepada tugas dan tanggungjawab yang diberi.
“Kita masih berada di sini dan pemain perlu fokus kepada perlawanan menentang Afrika Selatan dan saya percaya, pemain mampu memberikan yang terbaik.”
Speedy Tigers beraksi cemerlang pada saingan kumpulan C, mencapai dua kemenangan ke atas Chile dan New Zealand dan tewas sekali kepada Belanda, sekali gus berada di kedudukan kedua kumpulan.
Bagaimanapun, mereka tewas kepada Sepanyol kelmarin, dalam aksi cross over untuk mendapatkan satu lagi slot ke suku akhir, di Bhubaneswar.
Akibat kekalahan itu, skuad negara perlu meneruskan cabaran dalam penentuan kedudukan ke 9/16 dan lawan pertama perlu dihadapi adalah Afrika Selatan.
Berdasarkan rekod pertemuan Malaysia dan Afrika Selatan dalam kempen Piala Dunia, kedua-dua pasukan hanya pernah bertemu sekali pada 12 Jun 2014, yang menyaksikan wakil Afrika itu menang 6-2 ke atas skuad negara.
Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Piala Sultan Azlan Shah, di Ipoh, Perak, November lalu, dimenangi skuad negara dengan kemenangan 7-2 yang menyaksikan Malaysia muncul juara kali pertama di kejohanan itu.
Begitupun, cabaran Afrika Selatan tidak boleh dipandang enteng, terutamanya selepas mereka menjuarai Piala Negara-Negara FIH yang pertama, Disember lalu.