TOH Ee Wei mengakui kecederaan otot serong kanan (oblique muscle) yang dialaminya ketika Kejohanan Dunia lalu bukan sesuatu yang serius, sekali gus mengekalkan keyakinan untuk pulih menjelang Jelajah Dunia Akhir BWF, Disember ini.

Juara dunia beregu campuran itu berkata, dia kini berada dalam fasa latihan ringan selepas disahkan mengalami muscle strain tanpa sebarang koyakan otot.

“Ya ya, ada sikit strain lah, muscle strain, oblique muscle strain… jadi kena rehat dan buat light training minggu ini,” kata Ee Wei ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Toh Ee Wei yakin dia mampu pulih untuk kembali menggegar arena antarabangsa bersama Chen Tang Jie, bermula di Terbuka Denmark.

Menurutnya, kecederaan itu tidak menjejaskan fokusnya untuk menghadapi siri Eropah termasuk Terbuka Denmark dan Perancis, selain memastikan tubuhnya cergas sepenuhnya menjelang kejohanan penutup musim.

“Sudah tentu sempat, boleh, boleh… saya yakin masih ada masa dua ke tiga minggu untuk pulih dan teruskan persiapan,” ujarnya penuh optimis.

Bagi Ee Wei yang berpasangan dengan Chen Tang Jie, kemenangan ke atas gandingan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di Masters China baru-baru ini menjadi suntikan keyakinan untuk terus mencabar pasangan elit dunia.

“Kita anggap setiap perlawanan itu serius sebab perlu hormat lawan… jadi kita tidak pernah fikir untuk relaks, sebaliknya berlatih bersungguh-sungguh untuk kekalkan kualiti hingga ke Jelajah Dunia Akhir,” katanya.