BARISAN kejurulatihan badminton negara dijangka menurunkan barisan terkuat menjelang aksi pertama Kumpulan B menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai pada Selasa.

Meskipun atas kertas Malaysia tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan pertama berdepan UAE biarpun menurunkan barisan kedua, namun aksi berdepan tuan rumah itu boleh dijadikan sebagai pemanas badan buat pemain utama negara bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata semua kemungkinan akan dipertimbangkan dan ia bergantung kepada keadaan semasa pemain sebelum perlawanan itu nanti.

“Sebelum perlawanan nanti, kita akan lihat keadaan semasa pemain, semua kemungkinan ada. Mungkin nanti terutama pemain utama yang mahu menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan sebagainya dan mahu diturunkan.

“Ada beberapa faktor yang akan kami akan pertimbangkan dan bincang bersama seluruh pasukan. Apa pun, kita tetap menghormati UAE dan saya ingatkan pemain untuk tidak memandang rendah kemampuan lawan mereka itu,” kata Rexy.

Selain UAE, Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan turut diundi bersama India dan Kazakhstan. Juara serta naib juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir sebelum undian semula dilakukan bagi menentukan lawan untuk perebutan tempat ke separuh akhir.

Empat pasukan yang mara ke separuh akhir secara automatik layak ke saingan Piala Sudirman 2023 yang dijadual berlangsung di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei depan.

Pada kempen kali ini, Malaysia menyenaraikan Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao bagi menggalas tugas dalam acara perseorangan lelaki selain Goh Jin Wei dan Wong Ling Ching (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki); Pearly Tan-M Thinaah dan Teo Mei Xing-Go Pei Kee (beregu wanita); Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Sebagai rekod, sejak BAMTC dianjurkan pada 2017, pasukan negara tidak pernah berjaya menamatkan saingan di kelompok empat terbaik dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir.

JADUAL BAMTC 2023

Kumpulan B

Malaysia mln UAE, 5 ptg

India mln Kazakhstan, 5 ptg

Barisan kemungkinan

Perseorangan lelaki

Lee Zii Jia

Perseoragan wanita

Goh Jin Wei

Beregu lelaki

Aaron Chia-Soh Woooi Yik

Beregu wanita

Pearly Tan-M Thinaah

Beregu campuran

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing